Sektor kesihatan dan perubatan Malaysia terus berdepan pelbagai isu dengan yang terkini, kumpulan doktor dan pengamal perubatan menyertai himpunan membantah penggunaan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 (Akta 723), yang mewajibkan klinik swasta dan farmasi mempamerkan harga ubat-ubatan.
Dianggarkan lebih 500 doktor dan pengamal perubatan berhimpun di hadapan Bangunan Perdana Putra, di Putrajaya, yang menempatkan pejabat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk menyerahkan memorandum bantahan tersebut.
Kumpulan doktor dan pengamal perubatan am (GP) swasta terlibat menyuarakan bantahan terhadap pelaksanaan AKHAP yang diselia Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan menegaskan GP sudah tertakluk bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Wakil Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Datuk Dr R Thirunavukarasu, berkata walaupun persatuan perubatan menyokong prinsip ketelusan harga ubat yang perlu diketahui pesakit, namun mereka membantah Mekanisme Ketelusan Harga Ubat (MKHU) yang sedang dikuatkuasakan bermula 1 Mei ke atas klinik swasta di bawah Akta 723.
Menurut Dr Thirunavukarasu, penggunaan Akta 723 itu yang melibatkan penandaan harga ubat dan caj konsultasi GP dilihat tidak sesuai digunakan bagi persekitaran klinik swasta.
Beliau menjelaskan bidang kedoktoran adalah khidmat profesional yang sama sekali berbeza dengan penjualan ubat di farmasi atau kedai runcit.
“Kita bantah bukan sebab tidak mahu pamer harga ubat, tetapi sebab penggunaan akta itu.
“Selama ini, di bawah Akta 586 ketelusan (mengenai harga ubatan) itu memang sudah ada. Memang hak pesakit untuk tahu harga prosedur, ubatan dan apa khidmat yang mereka bayar. Jadi sebab itu kita terkilan kenapa hendak guna Akta 723 ini?
“Berbanding (jualan ubat) di farmasi dan kedai runcit, mereka memang menjual barang.
“Kalau klinik, kita beri khidmat profesional, pesakit daftar, jumpa doktor, buat pemeriksaan kesihatan, diagnosis, beri nasihat dan perubatan... itu satu proses.
“Jadi tak bolehlah samakan khidmat profesional dengan jual barang di kedai runcit,” jelasnya.
Menurut Dr Thirunavukarasu, Akta 586 telah digubal khusus untuk mengawal selia kemudahan kesihatan swasta dengan mengambil kira tadbir urus klinikal, keselamatan pesakit dan keadilan harga.
Terdahulu KKM melaksanakan peraturan baru bermula 1 Mei yang mewajibkan semua klinik dan farmasi swasta memaparkan harga ubat-ubatan, dengan tujuan meningkatkan ketelusan serta membantu pengguna membuat pilihan berdasarkan harga.
Langkah itu diambil sebagai satu mekanisme kawalan terhadap kos perubatan bagi mengimbangi kenaikan kadar premium insurans dan caj perubatan tinggi di kemudahan kesihatan swasta yang mengundang keresahan masyarakat.
Di bawah KPDN, AKHAP dikuatkuasakan untuk memerangi isu pengambilan untung berlebihan oleh peniaga atau mencatut, selain mewajibkan aspek penandaan harga.
Berikutan itu ia menimbulkan kebimbangan dalam kalangan GP swasta mengenai kemungkinan harga ubat yang sentiasa turun naik akan dikawal, sekali gus memberi kesan kepada klinik swasta.
Bagaimanapun Menteri KPDN, Datuk Seri Armizan Mohd Ali, sebelum ini menegaskan paparan harga ubat tidak menghalang klinik atau farmasi mengubah harga mengikut keadaan tertentu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg