Lima parti politik yang meletakkan calon paling ramai dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) menyertai perbincangan meja bulat yang disiarkan di televisyen pada 27 April.
Mereka membincangkan secara bergilir-gilir isu berkaitan geopolitik dan ekonomi, imigresen dan pekerjaan, serta kos sara hidup, lapor The Straits Times (ST).
Semua parti ditanya satu soalan umum mengenai topik-topik tersebut, sebelum diberi beberapa soalan susulan berbeza oleh pakar akademik.
Parti pemerintah, iaitu Parti Tindakan Rakyat (PAP), diberi separuh daripada masa bercakap, manakala parti lain berkongsi baki separuh masa secara sama rata.
Perbincangan tersebut dikendalikan penyampai berita Channel NewsAsia (CNA), Cik Otelli Edwards.
Berikut adalah ringkasan mengenai perkara yang dibincangkan:
Ketua Perikatan Rakyat bagi Pembaharuan (PAR), Encik Lim Tean, berkata tanda-tanda amaran bahawa globalisasi akan merosot muncul seawal 2022.
Namun, PAP tidak mengendahkan tanda-tanda amaran tersebut dan terus bercakap tentang globalisasi, kata Encik Lim, yang bertanding di SMC Potong Pasir.
Sebaliknya, PAR berpendapat gabungan sejagat dan tempatan adalah jalan ke hadapan, katanya, merujuk kepada kerjasama dengan rakan kongsi serantau yang dipercayai.
“Kita tidak boleh meneruskan rentak Amerika Syarikat yang memimpin globalisasi. Kita mesti mula bekerjasama dengan rakan serantau kita, seperti Indonesia, Thailand dan Malaysia,” ujar beliau.
Sementara itu, calon Parti Kemajuan Singapura (PSP) bagi SMC Pioneer, Cik Stephanie Tan, berkata parti itu akur tarif yang dikenakan Amerika boleh menjejas ekonomi Singapura.
Beliau berkata Singapura tidak boleh terlalu bergantung kepada syarikat berbilang negara (MNC) dan perlu membangunkan perusahaan tempatan.
Setiausaha Agung parti Titik Merah Bersatu (RDU), Encik Ravi Philemon, yang bertanding di GRC Nee Soon, pula melahirkan kebimbangan mengenai kemerosotan perdagangan bebas memandangkan Singapura adalah “penerima harga” dan bukan penentu harga dalam ekonomi sejagat.
Namun, tambahnya, perkara yang lebih membimbangkan ialah sama ada Singapura membaca isyarat yang betul daripada rakan dagangannya.
Bagi calon Parti Pekerja (WP) di GRC Tampines, Encik Michael Thng, berkata perkara pertama yang perlu dilakukan Singapura ialah memperdalam hubungan dengan negara sahabat – seperti negara Asean – yang masih mengalu-alukan perdagangan dengan Republik ini.
Namun, beliau akur sebilangan pekerja Singapura mungkin berpotensi hilang pekerjaan.
Bagi golongan pekerja itu, Encik Thng berkata pelbagai langkah, termasuk insurans pengangguran dan faedah pemberhentian kerja mandatori, perlu disediakan agar mereka berpeluang bangkit semula.
Penasihat Kanan Penyelidikan di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Profesor Joseph Liow, bertanya kepadanya apakah peluang strategik yang boleh dimanfaatkan Singapura?
Menjawab soalan itu, Encik Thng berkata industri di Singapura mungkin telah menjadi lebih berdaya saing dari segi harga akibat perang dagangan.
Beliau turut menggesa agar usaha dilakukan bagi melahirkan lebih ramai pemimpin industri tempatan.
Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat, yang mewakili Parti Tindakan Rakyat (PAP), berkata PAP telah meletakkan asas untuk menangani kesan ketidaktentuan yang meningkat, terutama terhadap pasaran pekerjaan dan pekerja di sini.
Malah, lebih daripada tarif yang dijangka dikenakan, apa yang lebih membimbangkan perniagaan ialah ketidakpastian yang menghalang mereka daripada membuat keputusan pelaburan dan pengambilan pekerja, katanya.
Encik Chee, yang mengetuai pasukan PAP dan bertanding di GRC Bishan-Toa Payoh berkata, sebahagian besar daripada Belanjawan $143 bilion yang diluluskan pada 2025 bertujuan membantu syarikat dan pekerja Singapura kekal berdaya saing dalam jangka sederhana dan panjang, sambil membolehkan mereka mengharungi tempoh sukar dalam jangka terdekat.
Encik Lim dari PAR berkata partinya sentiasa dikenali sebagai parti yang menegaskan bahawa rakyat Singapura perlu diberi keutamaan dalam pekerjaan di sini.
“Kami tidak bertolak ansur dalam perkara ini,” katanya.
Beliau menambah parti itu akan bertegas supaya majikan mesti mengambil rakyat Singapura terlebih dahulu, kecuali jika mereka dapat menunjukkan tiada rakyat Singapura yang layak atau berupaya melakukan tugas berkenaan.
Pensyarah Ekonomi di Universiti Nasional Singapura (NUS), Profesor Jessica Pan, bertanya Encik Lim bagaimana PAR akan menangani ketegangan antara menyokong syarikat kecil dan sederhana (SME) tempatan dan sekatan lebih ketat terhadap akses kepada pekerja mahir asing, dalam usaha melindungi pekerja Singapura.
Encik Lim berkata PAR menentang perjanjian yang sangat merugikan seperti Perjanjian Kerjasama Ekonomi Menyeluruh (Ceca) dengan India.
Encik Chee dari PAP berkata rakyat Singapura tetap menjadi tumpuan dalam semua dasar ekonomi dan tenaga kerja pemerintah.
Walaupun persaingan dengan bakat asing timbul secara semula jadi akibat keperluan untuk berdagang dengan dunia, Singapura perlu menyambut baik bakat antarabangsa yang saling melengkapi, katanya.
Encik Lim dari PAR berkata tiada “keperluan sama sekali” untuk kenaikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), memandangkan keadaan inflasi tinggi pada masa ini.
Beliau berkata lebihan Belanjawan terkumpul dari 1999 hingga 2019, berjumlah kira-kira $40 bilion kesemuanya.
“Terdapat banyak wang untuk membiayai penjagaan kesihatan percuma, pendidikan percuma, makanan sekolah percuma, seperti yang dicadangkan PAR,” katanya.
Encik Chee dari PAP berkata pemerintah PAP memahami kos sara hidup yang meningkat adalah kebimbangan utama bagi ramai rakyat Singapura, dan menegaskan ia akan terus memberi sokongan selagi perlu, untuk membantu rakyat mengharungi kesukaran hidup.
Skim seperti baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC), baucar SG60 dan skim baucar GST, serta inisiatif tambahan di peringkat kawasan undi turut membantu meringankan kos sara hidup, ujarnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg