Penduduk di tujuh kawasan di Johor perlu berwaspada dengan kemungkinan menghadapi banjir selepas Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan tahap bahaya (merah) bermula 10 hingga 12 Januari.
Menurut kenyataan MetMalaysia pada 10 Januari, amaran cuaca itu dikeluarkan bagi daerah Batu Pahat, Kluang, Mersing, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.
Malah, selain Johor, daerah Rompin di Pahang turut dijangka mengalami hujan lebat berterusan tahap bahaya dalam tempoh sama.
Selain itu MetMalaysia turut mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan tahap buruk (jingga) bagi kawasan Bera dan Pekan di Pahang, selain Tangkak, Segamat dan Muar di Johor.
“Hujan berterusan tahap waspada (kuning) pula diramal berlaku di Terengganu membabitkan Hulu Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman; Pahang (Jerantut, Maran dan Kuantan); Negeri Sembilan (Kuala Pilah, Jempol dan Tampin).
“Amaran hujan berterusan tahap kuning atau waspada itu juga dikeluarkan bagi seluruh Melaka, selain beberapa daerah di Sarawak termasuk Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Kapit (Song dan Kapit) dan Bintulu,” kata MetMalaysia dalam kenyataan itu.
MetMalaysia pada 9 Januari meramalkan Malaysia bakal berdepan beberapa lagi siri ledakan monsun sehingga Monsun Timur Laut (MTL) dijangka berakhir pada Mac 2025.
Ketua Pengarah MetMalaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip, berkata Malaysia mengalami empat episod hujan lebat akibat monsun sejak November 2024.
Dengan amaran perubahan cuaca tahap bahaya itu, kerajaan Malaysia juga bersiap siaga dengan sebarang kemungkinan terutama memastikan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang sedang berlangsung sehingga 6 Februari.
Pada akhir November hingga awal Disember 2024, Malaysia mengalami banjir terburuk dalam tempoh 10 tahun sejak 2014, dengan negeri Pantai Timur terutama di Kelantan dan Terengganu paling teruk terjejas.
Gelombang pertama banjir yang melanda sembilan negeri di Malaysia ketika itu termasuk Johor, merekodkan enam korban, memusnahkan kediaman, harta benda dan tanaman, dengan bantuan segera RM1 bilion ($304 juta) diperuntukkan kerajaan untuk kerja baik pulih kerosakan awam akibat bencana itu.
Banjir dahsyat itu turut menyebabkan kejadian lubang benam selain tanah runtuh.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg