Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) menegaskan bahawa setiap anggotanya yang menjalankan tugas rasmi di lapangan adalah dilindungi di bawah peruntukan undang-undang, dan orang awam tidak seharusnya melakukan tindakan menghalang, mengugut atau memarahi mereka ketika bertugas.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan insiden tular di media sosial pada 4 November yang berlaku di Terminal Bas Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor, apabila seorang anggota Rela ditegur secara kasar oleh seorang individu pengguna terminal berkenaan.
Menurut kenyataan tersebut, kejadian berlaku ketika anggota Rela berkenaan sedang membantu mengawal pergerakan orang ramai dan memastikan kelancaran laluan keluar masuk di kawasan terminal.
“Individu terbabit dikatakan tidak berpuas hati selepas diminta mematuhi laluan yang telah ditetapkan untuk pengguna perkhidmatan bas, sebelum bertindak meninggikan suara terhadap anggota bertugas,” katanya dalam satu kenyataan pada 6 November.
Pihak pengurusan Rela turut melahirkan sokongan penuh terhadap anggota tersebut dan memandang serius insiden yang berlaku, sambil menegaskan bahawa anggota Rela merupakan penjawat awam yang sah menjalankan tugas di bawah bidang kuasa jabatan.
“Rela turut mengingatkan bahawa mana-mana tindakan menghalang penjawat awam menjalankan tugas boleh disiasat dan dikenakan tindakan mengikut undang-undang.
“Walaupun berdepan situasi tegang, anggota Rela yang terlibat dilaporkan kekal profesional serta menangani keadaan tersebut dengan penuh berhemah tanpa sebarang provokasi,” katanya.
Rela, dalam kenyataan itu, turut merakamkan penghargaan terhadap ketenangan dan disiplin anggota berkenaan ketika bertugas di lokasi.
Sebagai langkah berterusan, Rela memaklumkan bahawa latihan, pemantapan kemahiran dan bimbingan kepada anggotanya akan terus dilaksanakan bagi memastikan mutu perkhidmatan yang diberikan sentiasa berada pada tahap terbaik.
Usaha tersebut, menurut jabatan itu, penting bagi mengekalkan keyakinan masyarakat terhadap peranan Rela dalam membantu keselamatan dan pengurusan orang awam di pelbagai premis dan kawasan tumpuan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Penolong Pesuruhjaya (ACP) Raub Selamat, memaklumkan bahawa seorang lelaki tempatan ditahan polis selepas bertindak menghalang serta menengking anggota Rela yang sedang menjalankan tugas di Terminal Bas BSI dalam satu kejadian yang tular di media sosial sejak 5 November.
Menurutnya kejadian berlaku pada 11.13 pagi, 4 November, membabitkan seorang anggota Rela yang sedang bertugas membantu mengurus pergerakan pengguna di kawasan terminal tersebut.
Pada 5 November, polis menahan lelaki berusia 31 tahun itu untuk siasatan lanjut. Semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau, manakala hasil saringan air kencing menunjukkan suspek negatif dadah.
Permohonan reman akan dibuat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM10,000 ($3,125) atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pengarah Rela Negeri Johor, Encik Khairol Faizal Rosli, mengunjungi anggota yang terlibat bagi menyampaikan sokongan moral. Dalam kunjungan itu, beliau melahirkan penghargaan terhadap kesabaran dan profesionalisme anggota ketika berhadapan situasi tersebut di khalayak ramai.
Beliau turut menyeru semua anggota Rela agar terus bersemangat, beretika dan berhemah dalam menjalankan tugas, manakala orang awam diingatkan supaya menghormati penjawat awam yang menjalankan amanah demi kelancaran urusan masyarakat.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg