Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Remaja 15 tahun di M’sia jadi wali nikahkan kakak, sentuh hati netizen

Feb 23, 2024 | 2:36 PM
Muhammad Afif Hakimi Mohd Haled (kiri), 15 tahun, menjadi wali dalam upacara pernikahan antara kakak kandungnya, Cik Nur Farisha Irwanie Mohd Haled dan Encik Mikhail Adam Yusri pada 3 Februari di Masjid Ukay Perdana.
Muhammad Afif Hakimi Mohd Haled (kiri), 15 tahun, menjadi wali dalam upacara pernikahan antara kakak kandungnya, Cik Nur Farisha Irwanie Mohd Haled dan Encik Mikhail Adam Yusri pada 3 Februari di Masjid Ukay Perdana. - Foto TIKTOK/KAKMAS7980

SELANGOR: Salah satu rukun akad nikah ialah kehadiran wali bagi pihak perempuan.

Kebiasaannya, wali merupakan ayah kandung kepada pengantin perempuan. Tetapi sekiranya ayah kandung tiada, datuk sebelah bapa atau adik beradik lelaki kandunglah yang akan menyandang tanggungjawab itu.

Demikian berlaku dalam satu majlis pernikahan dengan mempelai perempuan berwalikan adiknya, dalam lingkungan usia sekolah menengah.

Dalam satu video yang dimuat naik di TikTok oleh kakmas7980 pada 17 Februari, dapat dilihat remaja itu, yang dikatakan berusia 15 tahun daripada catatan tersebut, bersalaman dengan bakal abang iparnya sebelum melafazkan akad pernikahan bagi si kakak sambil diperhatikan anggota keluarga lain.

View post on TikTok

Remaja itu melaksanakan tanggungjawabnya dengan nada yang tenang dan raut wajah penuh yakin dan mempelai lelaki sah bergelar suami dalam sekali lafaz.

Video tersebut tular dan mendapat perhatian warganet, yang rata-rata kagum dan menabik kebertanggungjawaban remaja itu.

Setakat ini, video tersebut telah mendapat lebih daripada enam juta tontonan.

Berkongsi kepada Berita Harian, pemilik akaun tersebut, Cik Maslina Che Ani – yang juga ibu kepada remaja dan mempelai wanita – menjelaskan majlis akad tersebut berlangsung pada 3 Februari di Masjid Ukay Perdana.

“Terdahulu, kami sudah merujuk hal ini kepada pejabat agama untuk tahu siapa lebih berhak jadi wali dan bila adiknya boleh menjadi wali, adiknya sendiri yang maklumkan mahu nikahkan si kakak,” ujarnya.

Ini setelah anak lelakinya itu, Muhammad Afif Hakimi Mohd Haled, mengambil alih tugas pelaksanaan akad selepas pemergian arwah bapa.

Beliau berkata majlis akad nikah itu dihadiri sekitar 100 orang daripada kalangan anggota keluarga kededua belah pengantin perempuan dan lelaki – iaitu antara Cik Nur Farisha Irwanie Mohd Haled dan Encik Mikhail Adam Yusri.

Cik Maslina tidak menyangka video yang dimuat naik di akaun TikTok tular dan berkongsi: “Sememangnya saya rasa sedih, terharu pun ada. Bercampur-baur sebenarnya.”

Anak remaja lelakinya itu, jelas beliau, kini bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Wangsa Melawati, Tingkatan 3.

Dalam pada itu, wali merupakan salah satu syarat sah nikah dan bukan semua orang boleh menjadi wali.

Menukil Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Pulau Pinang, syarat-syarat sah menjadi wali ialah lelaki yang beragama Islam, berakal, adil, merdeka, dan baligh.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg