KUALA LUMPUR: Restoran diusahakan pempengaruh media sosial terkenal, Khairul Aming, iaitu Rembayung di Kampung Baru di sini, mendapat 3,000 tempahan pelanggan, pada sesi pertama slot dibuka pada malam 4 Januari.
Khairul bersyukur slot tempahan restoran pertama yang diusahakannya itu mendapat sambutan hangat pengikut hingga laman web Restoran Rembayung ‘crashed’ akibat trafik terlalu tinggi, lapor Berita Harian Malaysia.
“Kita sudah selesai proses tempahan pertama untuk Rembayung.
“Saya minta maaf kerana laman web ‘crashed’ (terganggu) tadi.
“Memang ramai yang maki hamun dan saya pun ‘speechless’ (hilang kata-kata).
“Kita sudah buat persiapan tetapi malangnya, trafik terlalu tinggi.
“Ada 3,000 pelanggan berjaya ‘booked’ (tempah) mulai 6 Januari dan beberapa hari seterusnya.
“Saya tidak tahu hendak ‘respond’ (cakap) apa... Saya minta maaf.
“Kepada yang marah saya dan pasukan, saya mohon maaf sekali lagi.
“Izinkan kami tangani semua isu dan cuba beri proses yang lebih lancar untuk tempahan seterusnya,” katanya melalui hantaran di Threads.
Melalui Threads, Khairul mengumumkan slot tempahan untuk menikmati sajian di Restoran Rembayung dibuka mulai 9 malam, 4 Januari.
Butiran mengenai slot tempahan itu dijelaskan Khairul melalui sesi ‘live’ TikTok.
Khairul mengalu-alukan kumpulan pertama pelanggan ke Rembayung, mulai 6 Januari.
“Kepada 3,000 pelanggan, jemput datang ke Rembayung.
“Kami cuba yang terbaik untuk beri pengalaman yang memuaskan kepada semua pelanggan.
“Terima kasih kepada semua yang memberi sokongan kepada Rembayung,” katanya.
Awal Disember 2025, Khairul membuat pengumuman mengejutkan menerusi media sosial bahawa beliau akan membuka restoran pertama, Rembayung, iaitu projek yang diusahakannya sejak 2025 pada kos RM4 juta ($1.26 juta).
Restoran Rembayung dilapor dibina di atas tanah seluas 8,000 kaki persegi di Kampung Baru, iaitu hanya sembilan minit dari pusat beli-belah KLCC atau Menara Berkembar Petronas.
Ketika mengumumkan pembukaan Restoran Rembayung, Khairul memberitahu premis berkenaan akan menyajikan makanan kampung.
“Dengan bermodalkan RM4 juta, kita bina restoran makanan kampung yang bermula dari kosong, jadi prosesnya akan mengambil masa sedikit.
“Berbekalkan rakan kongsi yang sudah lama dengan industri restoran, kami bertiga berganding bahu untuk jadikan idea ini suatu realiti,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai konsep restorannya itu, Khairul dilapor berkata ia berkonsepkan restoran yang luas dan mampu menampung lebih 250 pelanggan dalam satu masa.
“Kita pilih konsep semi ‘glass-house’ dua tingkat bagi menampung orang ramai dari serata negara.
“Kita nak, bila pelanggan masuk ke dalam restoran ini, ia akan beri satu pengalaman ‘dine-in’ lain daripada yang lain.
“Kita mahu pelanggan teringatkan kampung,” katanya.
Khairul berkata dengan pembukaan restorannya itu, ia turut membuka peluang pekerjaan kepada 50 anak tempatan.
“Mereka ini semua tidak tahu bahawa restoran ini milik Khairul, mereka hanya datang temu duga sudah lulus baru mereka tahu,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg