Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rembayung milik Khairul Aming mula operasi, 450 pelanggan jaya rebut slot hari pertama

Jan 6, 2026 | 4:17 PM
Rembayung, Khairul, Aming
Usahawan Sambal Nyet dan pempengaruh berjaya Malaysia, Encik Khairul Aming (tengah) bersama antara pelanggan terawal Rembayung miliknya pada hari pertama pembukaan restoran itu di Kampung Baru, Kuala Lumpur pada 6 Januari. - Foto BH oleh HANNEEYZAH BAHARIN

Selepas menempuh pelbagai ujian, termasuk isu teknikal yang mengganggu proses tempahan, restoran Rembayung milik usahawan dan pempengaruh terkemuka Malaysia, Encik Khairul Aming, kini beroperasi dengan lancar pada 6 Januari.

Seawal 10 pagi, pelanggan dari segenap pelosok Malaysia termasuk Singapura, yang berjaya merebut tempat terawal dengan menempah slot daripada kira-kira 60,000 peminat Encik Khairul Aming pada 4 Januari lalu, telah mula menunggu dengan penuh harapan di hadapan restoran di Kampung Baru, Kuala Lumpur, itu.

Warga Singapura, Cik Nur Insyirah Feera Ismail, 38 tahun, tidak menyangka usaha selama 15 minit beliau bersama ibu dan kakak untuk mendapatkan slot tempahan Rembayung membuahkan hasil, meskipun berdepan masalah teknikal ketika proses itu.

“Saya anggap ini hadiah bulan madu kerana baru empat bulan berkahwin dengan suami, Encik Mohammad Arif Selamat dan juga hadiah hari lahir saya yang jatuh pada 1 Januari lalu.

“Saya dan keluarga memang peminat Encik Khairul Aming dan kami penggemar produk sambal dan rendang keluarannya. Kami juga suka tonton video beliau memasak.

“Jadi apabila beliau buka restoran kami sangat teruja mahu mencuba sendiri air tangannya,” kata pengajar Bahasa Arab dari Pasir Ris itu ketika ditemui Berita Harian (BH) di Rembayung.

Cik Nur Insyirah berkongsi bahawa menu masak lemak siput sedut dan daging salai, serta sambal sotong yang dipesan, menepati citarasanya, walaupun suaminya mendapati ia agak pedas.

“Memang sedap dan harganya amat berpatutan kerana saiz hidangan yang besar. Tak sia-sia kami datang dari jauh untuk menjamu selera di Rembayung. Lebih teruja dapat jumpa sendiri Encik Khairul Aming secara berdepan, selalu dilihat di media sosial saja,” katanya tertawa.

Guru, Cik Rogayah Omar, 55 tahun, berkata beliau dan keluarganya dari Kuantan, Pahang dan Johor Bahru, sangat teruja hendak merasai air tangan Encik Khairul Aming, dan datang bermalam di Kuala Lumpur pada 5 Januari untuk ke Rembayung.

“Saya teruja kerana suka tengok video memasak Khairul Aming. Alhamdulillah, makanan semuanya sedap dan berbaloi dengan harga, cukup untuk kami berempat makan. Suasana restoran juga cantik dan sejuk. Puas hati dapat rasa air tangan Khairul Aming,” katanya kepada BH.

Guru, Cik Rogayah Omar, 55 tahun, dari Kuantan, Pahang.
Guru, Cik Rogayah Omar, 55 tahun, dari Kuantan, Pahang. - Foto BH oleh HANNEEYZAH BAHARIN

Isu harga makanan di Rembayung sebelum ini menimbulkan perdebatan dalam pengikut Encik Khairul Aming di media sosial. Mereka mengkritik usahawan Sambal Nyet dan Rendang Nyet itu, selepas beliau menjelaskan kesukaran untuk meletak harga murah, mengambil kira pelaburan besar yang telah dibuatnya.

Tinjauan BH pada menu restoran menunjukkan harga purata bagi menu utama bermula dari RM10 ($3.20) hingga mencecah RM60 sepinggan.

Encik Khairul melabur RM4 juta bagi membangunkan Rembayung berkonsepkan rumah kaca di atas tanah seluas 8,000 kaki persegi, yang siap sepenuhnya pada Disember tahun sama.

Fenomena Encik Khairul Aming atau nama sebenarnya Khairul Amin Kamarulzaman, 34 tahun, yang terkenal dengan tagline ‘Hey Whats Up Guys’, menarik puluhan ribu pengikut dan peminat. Mereka berebut membuat tempahan sehingga menyebabkan platform tempahan mengalami gangguan teknikal pada malam pelancarannya, 4 Januari lalu.

Encik Khairul Aming berkata jumlah trafik yang terlalu tinggi menyebabkan laman web tersebut tidak mampu menampung jumlah pengunjung yang mahu membuat tempahan.

Pembukaan Rembayung menandakan fasa baru dalam perjalanan perniagaan Encik Khairul Aming daripada pencipta kandungan digital kepada usahawan yang mempunyai restoran dan memperkenalkan pengalaman menu kampung autentik kepada pengunjung.

“Alhamdulillah hari pertama Rembayung beroperasi semua berjalan lancar. Walaupun ramai yang mengecam apabila saya memilih untuk buat sistem tempahan awal untuk makan di Rembayung, hari ini terbukti ia berjalan lancar tanpa kelam kabut,” katanya kepada BH.

Siswazah Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dari Universiti Vanderbilt di Amerika Syarikat, itu memaklumkan keterujaan untuk pembukaan Rembayung pada 6 Januari juga agak sentimental kerana pada tarikh sama beliau melancarkan produk Sambal Nyet yang pertama lima tahun lalu.

“Saya hanya tidur satu jam malam tadi kerana teruja dan cemas hendak menyambut pelanggan. 

“Terima kasih atas sokongan semua kepada saya tidak kira dari Malaysia, Singapura mahupun daripada mana-mana negara. Rembayung adalah projek terbesar dan paling semangat untuk saya,” katanya.

Sementara itu tinjauan BH di Rembayung sejak pagi mendapati, operasi restoran dengan 50 pekerja itu berjalan cekap. Malah Encik Khairul Aming sendiri aktif menyantuni pelanggan dan melawat ke setiap meja untuk mendapatkan maklum balas segera pelanggan.

Rembayung menyajikan menu masakan tradisional Melayu seperti masak lemak cili api daging salai dan siput sedut, sambal udang, masak lemak terung yang juga resipi tradisi keluarga Encik Khairul Aming dan pelbagai lagi pilihan termasuk pencuci mulut seperti kuih Melayu dan rojak buah.

“Ada beberapa komen saya terima antaranya kuah gulai dikatakan agak pekat. Saya terima semua teguran dan kita akan sentiasa perbaiki dan terus berikan yang terbaik buat pelanggan hari demi hari,” kata Encik Khairul Aming.

Menurut beliau untuk 6 Januari, Rembayung menerima lebih 450 pelanggan. Tempahan ditutup sementara sehingga 13 Januari kerana sepanjang tempoh itu restoran terbabit sudah menerima lebih 3,000 tempahan.

Walaupun baru hari pertama beroperasi, sudah ada pihak yang berjaya membuat tempahan, dilihat cuba menjual semula tempat yang berjaya ditempah.

Mengulas perkara itu, Encik Khairul Aming, mengingatkan pelanggannya supaya membuat tempahan restoran di saluran yang sah, bagi mengelak menjadi mangsa penipuan dan aniaya pihak tidak bertanggungjawab.

Meskipun konsep tempahan awal di Rembayung telah dihebahkan, masih ramai pengunjung dari Singapura, Brunei, dan serata Malaysia datang untuk mencuba masakan Khairul Aming secara langsung.

“Kasihan juga tetapi kita memang tidak boleh terima walk-in kerana semuanya sudah disusun mengikut tempahan,” kata Encik Khairul Aming.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg