Berita Netizen
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sistem tempah restoran Khairul Aming terganggu akibat sambutan luar biasa

Warga S’pura turut ‘cuba nasib’ tempah tempat di Rembayung
Jan 5, 2026 | 1:59 PM
Khairul Aming melonjak populariti dari menghasilkan kandungan video memasak sejak 2018, kini pemilik restoran Rembayung, yang bernilai 4 juta ringgit di Kampung Baru, Kuala Lumpur.
Khairul Aming melonjak populariti dari menghasilkan kandungan video memasak sejak 2018, kini pemilik restoran Rembayung, yang bernilai 4 juta ringgit di Kampung Baru, Kuala Lumpur. - Foto TANGKAP LAYAR INSTAGRAM @KHAIRULAMING

Kira-kira 60,000 pengikut media sosial pempengaruh terkenal, Khairul Aming, dari Malaysia meluahkan kekecewaan apabila laman web tempahan restoran miliknya, Rembayung, tergendala pada malam 4 Januari akibat tidak mampu menampung lonjakan trafik dalam talian.

Sehari sebelum kejadian itu, Khairul Aming atau nama sebenarnya Khairul Amin Kamarulzaman, 33 tahun, mengumumkan menerusi media sosial bahawa tempahan akan dibuka semula pada jam 9 malam secara dalam talian bagi restoran yang dijadualkan mula beroperasi pada 6 Januari.

Dalam sesi siaran langsung di Instagram dan TikTok sebelum waktu tempahan dibuka, beliau menerangkan secara terperinci prosedur membuat tempahan melalui laman web rembayung.my. Menurutnya, tempahan hanya dibuka untuk tempoh seminggu dan restoran itu tidak beroperasi pada kapasiti penuh bagi memastikan kualiti servis serta mutu makanan terjaga pada minggu pertama.

Namun, ribuan pengikut kecewa apabila laman web berkenaan gagal berfungsi, menyebabkan ramai tidak dapat mengakses sistem tempahan.

View post on TikTok

“Saya sudah maklumkan kepada pihak laman bahawa saya jangkakan sistem akan ‘crash’. Saya minta maaf kerana tidak dapat berbuat apa-apa,” kata Khairul Aming yang tenang bercakap dengan netizen walaupun wajahnya kelihatan agak ‘stres’ dengan situasi yang tak dapat diselamatkan.

Mengulas lanjut mengenai pembukaan restorannya, Encik Khairul berkata hanya 40 peratus ruang makan akan dibuka untuk tempahan bagi memberi fokus kepada kelancaran operasi dan perkhidmatan. Tempahan juga dibuat secara berperingkat bagi mengelakkan ‘joy booking’, iaitu pelanggan membuat tempahan tetapi tidak hadir.

Sebagai langkah tambahan, beliau mengenakan deposit RM10 ($3.16) bagi setiap tempahan.

“Jangan risau, RM10 itu akan ditolak daripada bil anda. Tetapi jika tempahan sudah dibuat dan tidak hadir, wang itu dianggap hangus,” jelasnya kepada ribuan pengikut yang teruja dengan pelancaran restoran berkonsepkan makanan tradisional Melayu itu.

Sebelum ini, Encik Khairul turut mengumumkan bahawa restorannya yang terletak di Kampung Baru, Kuala Lumpur tidak menerima pelanggan tanpa temu janji.

Beliau menegaskan bahawa kegagalan sistem tempahan bukan berpunca daripada pihaknya, sebaliknya melibatkan penyedia platform tempahan, Umai.io.

Walaupun berdepan gangguan sistem, hampir 3,000 tempahan berjaya diterima bagi sepanjang minggu pembukaan restoran yang berharga 4 juta ringgit itu, menurut Encik Khairul dalam muat naik terbarunya.

“Saya sarankan jangan datang seorang. Datanglah berdua atau lebih kerana saiz hidangan kami besar dan sesuai untuk dikongsi,” katanya, sambil menambah bahawa restoran tersebut turut menyediakan dua menu khas untuk kanak-kanak.

Bagi pengikut dari Singapura, Brunei dan negara lain yang merancang kunjungan ke Kuala Lumpur, peluang untuk mendapatkan tempahan dalam masa terdekat dianggarkan amat tipis.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg