Malaysia diselubungi duka dengan berita pemergian mengejut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub, pada malam Ahad, akibat pendarahan otak.
Ahli Parlimen Pulai dan Ahli Dewan Undangan Negeri Simpang Jeram yang terkenal dengan jolokan pemimpin rahmah itu disahkan meninggal dunia pada 9.23 malam ketika mendapat rawatan di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah.
Berita kematian Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (PAN) itu diumumkan oleh anak perempuannya, Cik Fatihah Salahuddin, menerusi perkongsian di laman Facebook pada malam Ahad.
Jenazah Allahyarham telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Sulong, Serkat, Pontian, Johor, pada 12.30 tengah hari Isnin.
Suasana pilu menyelubungi upacara pengebumian jenazah yang turut dihadiri ratusan orang termasuk pemimpin politik kerajaan dan pembangkang, warga kementerian, sahabat handai, masyarakat setempat dan kenalan Allahyarham untuk memberikan penghormatan terakhir.
Ibu Allahyarham, Cik Aminah Abdullah, 83 tahun, yang berkerusi roda turut mengiringi jenazah bersama balu Allahyarham, Datin Seri Fatimah Taha dan enam anak Datuk Salahuddin.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengimamkan solat jenazah Allahyarham di Masjid Jamek Dato’ Haji Noh Gadot, Serkat, Pontian, pada 11 pagi ini yang turut disertai lebih 1,000 orang.
Sebelum ketibaan Datuk Anwar, solat jenazah turut dilaksanakan dan diimamkan anak sulung Allahyarham, Encik Iskandar Zulkarnain, 37 tahun.
Pada awal pagi Isnin, jenazah Datuk Salahuddin dibawa pulang ke kampung halamannya di Kampung Serkat menaiki penerbangan khas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Kedah, dan tiba di kediaman ibunya di kampung berkenaan pada 3.35 pagi.
Allahyarham dikejarkan ke HSB jpada 10.15 malam pada Jumaat untuk mendapatkan rawatan selepas mengalami mual dan muntah-muntah, sebelum disahkan mengalami pendarahan otak oleh doktor pakar dan menjalani pembedahan pada Sabtu.
Pelbagai pihak menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar buat negara, malah laman sosial turut dihujani perkongsian mengenai personaliti dan ketokohan Datuk Salahuddin yang cukup disenangi ramai.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, pada Isnin menzahirkan ucapan takziah dan menghargai jasa, khidmat dan bakti Allahyarham kepada masyarakat dan negara.
Menurut catatan di Facebook rasmi Istana Negara, Seri Paduka berdua menzahirkan rasa dukacita dengan pemergian Allahyarham, mendoakan seluruh keluarga tabah menghadapi dugaan dan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah swt.
Datuk Anwar secara peribadi menyifatkan Allahyarham mempunyai sikap keperibadian tinggi, sama ada kepada kawan mahupun lawan, sosok yang kuat bekerja dan sangat taat pada amanah dan tanggungjawab.
“Secara peribadi, ia satu kehilangan besar buat diri saya dan keluarga. Saudara Salahuddin teguh bersama dalam perjuangan yang panjang ini sehingga ke akhir hayat. Jasa dan budinya tidak termampu dibalas secara materi,” katanya.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, turut tidak ketinggalan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham yang dianggap sebagai sahabat.
“Walaupun berbeza ideologi politik, Allahyarham Salahuddin merupakan tokoh yang saya hormati. Beliau merupakan sosok pemimpin yang matang, progresif dan pragmatik,” katanya.
Sementara itu, Datin Fatimah reda dengan pemergian Allahyarham dan bersyukur berada di samping suaminya sepanjang dirawat sehingga menghembuskan nafas terakhir.
“Kebetulan saya ikut suami ke program (di Kedah). Saya ada di sisinya dan tidak dapat bayangkan jika keseorangan dengan keadaan sawan. Sebelum ini dia sentiasa balik walaupun tinggalkan saya untuk hadiri program, sekarang dia tinggalkan saya dan anak dan tidak akan balik lagi,” katanya pilu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg