Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ribuan himpun di KL desak Anwar letak jawatan

Jul 26, 2025 | 7:26 PM
bantahan, Masjid Negara, Anwar, KL
Ribuan rakyat berhimpun di Masjid Negara, Kuala Lumpur, pada 26 Julai untuk menyuarakan bantahan terhadap Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Foto ST

KUALA LUMPUR: Ribuan rakyat berhimpun di Kuala Lumpur pada 26 Julai untuk menyertai perhimpunan ‘Turun Anwar’ bagi mendesak Perdana Menteri Malaysia,  Datuk Seri Anwar Ibrahim, agar meletak jawatan, kerana didakwa gagal menangani pelbagai cabaran ekonomi dan politik.

“Undur! Undur! Undur Anwar!” laung kumpulan penunjuk perasaan, kebanyakannya berpakaian hitam, yang berhimpun di Masjid Negara.

“Bangkit! Bangkit! Bangkit rakyat!” turut dilaungkan sesetengah peserta ketika mereka berarak menuju ke Dataran Merdeka, yang menjadi lokasi terakhir perhimpunan itu.

Mereka dijangka disertai peserta lain yang turut mula berarak dari Masjid Jamek, pusat beli-belah Sogo dan Pasar Seni, bagi menyuarakan bantahan terhadap kepimpinan Datuk Anwar yang mula memegang jawatan itu pada November 2022.

Disokong oleh perikatan pembangkang Perikatan Nasional (PN) yang membawa ribuan penyokong dari luar Lembah Klang melalui bas, perhimpunan itu turut disertai parti pembangkang yang lebih kecil serta kumpulan aktivis hak Melayu.

Antara tokoh utama yang dijadualkan hadir ialah mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tan Sri Muhyiddin merupakan salah seorang pemimpin utama PN bersama Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS), Tan Sri Abdul Hadi Awang, yang turut dijangka hadir, lapor The Straits Times (ST).

Melalui perhimpunan tersebut, para penganjur dan peserta berharap dapat menyuarakan beberapa isu, termasuk kebimbangan mengenai kos sara hidup – khususnya selepas Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) diperluas pada Julai – kenaikan kadar elektrik, serta pengurangan subsidi bahan api.

Sebahagian peserta turut melahirkan kebimbangan terhadap sekatan yang semakin meningkat ke atas kebebasan bersuara, susulan tindakan yang diambil pihak berkuasa terhadap kandungan media sosial yang mengkritik kerajaan.

Isu lain yang turut dibangkitkan ialah kebimbangan terhadap Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar yang bakal dilaksanakan di beberapa kawasan di Kuala Lumpur, yang menurut pengkritik, boleh menyebabkan penduduk Melayu berpendapatan rendah tersingkir daripada kawasan bandar yang akan dibangunkan semula.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, perhimpunan kecil ‘Turun Anwar’ serta konvoi motosikal telah diadakan di serata negara, dengan kehadiran tokoh seperti Dr Mahathir, Tan Sri Muhyiddin, dan Tan Sri Hadi di beberapa lokasi.

Dalam satu surat terbuka, penganjur perhimpunan menyenaraikan pelbagai isu yang dihadapi negara, termasuk penghapusan subsidi diesel secara menyeluruh pada Jun 2024 yang telah menaikkan kos barangan dan perkhidmatan, kekurangan reformasi yang dijanjikan oleh Datuk Anwar, kegagalan menurunkan kos sara hidup, serta tanggapan bahawa pemimpin yang menerima rasuah dilindungi kerajaan.

Perhimpunan pada 26 Julai yang majoriti pesertanya berbangsa Melayu mencerminkan kegagalan Datuk Anwar menangani kebimbangan masyarakat tersebut, kata Penyelidik Kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, Dr Oh Ei Sun.

Dr Oh menambah bahawa ini mungkin petanda perdana menteri tersebut belum berjaya meraih sokongan yang diperlukan daripada masyarakat Melayu.

“Populasi Melayu yang pesat membangun di kawasan bandar masih belum melihat kebolehan Datuk Seri Anwar untuk menyediakan mereka pekerjaan stabil, pendapatan mencukupi, dan harga mampu milik, dan ramai yang tertarik kepada naratif sosiopolitik alternatif PAS,” kata Dr Oh.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg