Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ringgit terus kukuh berbanding dolar AS, tertinggi sejak Jan 2021

Turut kukuh berbanding dolar S’pura
Dec 26, 2025 | 5:28 PM
Ringgit, mengukuh, banding dolar Amerika Syarikat, dolar Singapura
Ringgit terus mengukuh ke paras 4.033 berbanding dolar Amerika Syarikat, dan 3.149 berbanding dolar Singapura pada pagi 26 Disember 2025. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Ringgit Malaysia meneruskan momentum cemerlangnya apabila mengukuh ke paras 4.033 berbanding dolar Amerika Syarikat pada pagi 26 Disember, sekali gus mencecah nilai tertinggi baru sejak Januari 2021.

Ringgit juga meningkat berbanding dolar Singapura pada 3.149 pada 12.20 tengah hari 26 Disember. Ia juga mengukuh berbanding yen Jepun, baht Thailand dan peso Filipina.

Ringgit pernah mencecah paras 4.0490 pada 3 Mac 2021.

Prestasi memberangsangkan ini menandakan pemulihan ketara mata wang Malaysia yang kini kembali ke paras sebelum kitaran kenaikan kadar faedah agresif Amerika.

Beberapa penganalisis rata-rata berkata pengukuhan itu sebahagian besarnya dipacu oleh jangkaan pelonggaran dasar kewangan oleh Lembaga Simpanan Federal (Fed) Amerika.

Fed yang dijangka meneruskan pemotongan kadar faedah secara berperingkat, telah menyebabkan Indeks Dolar (DXY) menyusut, sekali gus mengecilkan jurang perbezaan kadar faedah antara Amerika dengan Malaysia.

Keadaan itu telah mengurangkan tekanan ke atas ringgit dan menarik semula minat pelabur asing untuk kembali ke pasaran Malaysia.

Menurut mereka lagi, di peringkat domestik, keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus terus menjadi sauh kestabilan mata wang negara itu.

Pendirian BNM yang berhati-hati namun menyokong pertumbuhan itu, berbeza dengan bank pusat serantau lain yang mungkin terpaksa melonggarkan dasar lebih awal, menjadikan aset berdenominasi ringgit lebih menarik dari sudut perbezaan hasil.

Asas ekonomi Malaysia yang kukuh juga memainkan peranan penting dalam menyokong kenaikan itu.

Firma penyelidikan CGS International menjangkakan pertumbuhan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) negara itu akan mengatasi unjuran rasmi kerajaan Malaysia pada 2026, didorong oleh perbelanjaan swasta yang teguh serta pemulihan sektor eksport.

Keyakinan terhadap pertumbuhan itu telah meningkatkan selera pelabur terhadap ringgit.

Aliran masuk dana asing ke dalam pasaran bon dan ekuiti tempatan juga menunjukkan peningkatan yang tekal.

Menurut data pasaran, pelabur asing telah mula meningkatkan pegangan dalam Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan saham tempatan, didorong oleh penilaian aset yang menarik serta prospek ekonomi stabil.

Kemasukan modal asing itu mewujudkan permintaan terhadap ringgit, menyokong pengukuhannya di pasaran tukaran asing.

Sektor pelaburan langsung asing (FDI) yang rancak, khususnya dalam pembangunan pusat data dan teknologi, turut menyumbang kepada sentimen positif itu.

Kelulusan pelaburan yang mencecah rekod tertinggi pada tahun lalu (2024), terutamanya di Johor dan Lembah Klang, membuktikan keyakinan pelabur jangka panjang terhadap kestabilan ekonomi Malaysia.

Sektor pelancongan dijangka menjadi pemangkin tambahan kepada pengukuhan ringgit kelak.

Sasaran ketibaan pelancong yang tinggi bakal meningkatkan permintaan terhadap ringgit.

Pengukuhan ringgit ke paras 4.03 dijangka memberi kelegaan kepada pengguna dan perniagaan dalam menghadapi kos sara hidup.

Kos import bagi bahan mentah dan barangan makanan dijangka menjadi lebih rendah, membantu meredakan tekanan inflasi import.

Penganalisis pasaran kekal optimis ringgit mempunyai ruang untuk terus mengukuh.

CGS International meletakkan sasaran akhir tahun 2026 pada paras RM4.00, manakala TA Securities lebih optimis dengan sasaran RM3.95.

Unjuran ini bersandarkan kepada jangkaan bahawa kitaran penurunan kadar faedah Amerika akan berterusan, memberikan kelebihan kepada mata wang di pasaran pesat membangun.

Namun, risiko luaran terutamanya berkaitan dasar perdagangan global di bawah pentadbiran Presiden Amerika, Encik Donald Trump, yang baru tetap perlu diberi perhatian. – BHM, Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg