Ringgit kukuh belum tentu tarik belia pulang bekerja di Johor

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ringgit kukuh belum tentu tarik belia pulang bekerja di Johor

Feb 11, 2026 | 5:56 PM

Ringgit kukuh belum tentu tarik belia pulang bekerja di Johor

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Ringgit, belia, pekerjaan, Johor
Presiden Majlis Belia Negeri Johor, Encik Mohamad Alif A. Rahim (kiri), dan Naib Presiden Kebangsaan Pergerakan Anak Muda Malaysia, Cik Brevia Pan Woon Shien. - Foto ihsan MOHAMMAD ALIF dan BREVIA PAN

Pengukuhan nilai ringgit tidak semestinya membawa perubahan besar terhadap aliran belia Johor yang memilih bekerja di Singapura

Sebaliknya, faktor kestabilan kerjaya dan prospek masa depan dilihat lebih mempengaruhi keputusan mereka.

Naib Presiden Kebangsaan Pergerakan Anak Muda Malaysia, Cik Brevia Pan Woon Shien, berkata kecenderungan golongan muda bekerja di Singapura bukan hanya berpunca daripada perbezaan nilai mata wang.

Menurutnya, pengukuhan ringgit mungkin memberi tekanan kewangan jangka pendek dan mendorong sebahagian pekerja menilai semula keberkesanan bekerja merentas sempadan, namun ia bukan faktor penentu utama.

“Belia sebenarnya mencari masa depan yang boleh dijangka, contohnya kedudukan mereka dalam tempoh lima hingga 10 tahun, kemampuan menyara keluarga serta rasa dihargai dan mempunyai tempat dalam masyarakat.

“Perkara ini tidak boleh ditentukan oleh kekuatan mata wang sahaja. Ia memerlukan tadbir urus lebih baik serta industri yang lebih kukuh,” katanya ketika dihubungi Berita Harian (BH).

Beliau berkata Malaysia perlu menyediakan peluang pekerjaan yang benar-benar menarik untuk belia kekal bekerja di dalam negara, termasuk pekerjaan bermutu, laluan kerjaya yang jelas dan ruang kepada golongan muda terlibat dalam pembangunan negara.

Cik Pan menambah, selain kadar tukaran, faktor kos sara hidup, tempoh perjalanan harian, kesalinghubungan pengangkutan serta perancangan kerjaya individu turut mempengaruhi pilihan mereka.

Menurutnya, kerjasama ekonomi Johor-Singapura yang semakin erat serta penambahbaikan prasarana rentas sempadan juga akan mempengaruhi pertimbangan bekerja di Johor atau di Singapura.

“Ringgit yang lebih kukuh mungkin menyebabkan sebahagian pekerja menilai semula pekerjaan merentas sempadan dalam jangka pendek, tetapi perubahan jangka panjang bergantung kepada sama ada Malaysia mampu menyediakan gaji kompetitif, peluang kerja bermutu dan perkembangan kerjaya yang jelas,” katanya.

Sementara itu, Presiden Majlis Belia Negeri Johor, Encik Mohamad Alif A. Rahim, berkata peningkatan nilai ringgit sedikit sebanyak dipengaruhi aliran mata wang asing yang dibawa pulang oleh pekerja rentas sempadan.

Menurutnya, pendapatan dalam dolar Singapura yang dibelanjakan di Johor membantu mengukuhkan kedudukan ekonomi tempatan serta memberi manfaat kepada perniagaan setempat.

“Walaupun nilai tukaran dolar Singapura tidak setinggi dahulu, pertukaran mata wang yang masuk ke Johor tetap memberi kesan positif kepada ekonomi negeri.

“Kita ada kira-kira 300,000 rakyat Johor yang ulang-alik bekerja di Singapura. Apabila mereka pulang dan berbelanja di sini, ia menjadi limpahan ekonomi yang besar kepada masyarakat,” ujarnya.

Beliau berkata pengukuhan ringgit setakat ini belum memberi perubahan ketara terhadap kecenderungan rakyat Johor bekerja di Singapura kerana perbezaan kadar pendapatan masih tinggi selepas ditukar kepada mata wang tempatan.

Katanya, walaupun kerjasama ekonomi Johor-Singapura melalui Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dijangka membuka lebih banyak peluang pekerjaan, tidak semua sektor menawarkan gaji premium kepada pekerja tempatan.

“Peluang gaji tinggi biasanya bergantung kepada pengalaman dan kesesuaian bidang industri. Jadi belum ada perubahan besar kepada corak pekerja rentas sempadan,” katanya.

Selagi perbezaan pendapatan antara kedua-dua negara masih ketara, rakyat Johor akan terus melihat pekerjaan di Singapura sebagai pilihan yang menarik, terutama bagi meningkatkan taraf hidup keluarga. tambah beliau.

Ringgit mengukuh ke paras tertinggi dalam tempoh lebih tujuh tahun susulan keyakinan terhadap kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan kecerdasan buatan (AI) serta prospek pertumbuhan ekonomi negara.

Berbanding dolar Singapura, ringgit mencatat pengukuhan sekitar 0.7 peratus sejak awal 2026 dan meningkat 4.6 peratus dalam tempoh 12 bulan lalu, sekali gus memberi kesan langsung kepada kehidupan harian pekerja Malaysia yang bergantung kepada pendapatan merentas sempadan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg