Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

RM1.5b untuk bina tembok tangani kes penyeludupan di sempadan Kelantan-Thai

Oct 21, 2025 | 1:53 PM
tembok, tangani kes penyeludupan, sempadan Kelantan-Thai
Anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Malaysia berkawal di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan, yang dikesan sering menjadi laluan penyeludup.  - Foto NSTP

KOTA BHARU (Kelantan): Kerajaan Malaysia sudah meluluskan peruntukan sebanyak RM1.5 bilion ($460 juta) bagi pembinaan tembok di sempadan Kelantan-Thailand untuk mengekang kes penyeludupan dan mempertahankan kedaulatan negara.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata perkara itu dimaklumkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) baru-baru ini.

“Peruntukan sudah lulus untuk membina tembok dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, sudah melakukan lawatan di sempadan.

“Bagi kawasan Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok akan ditambah pagar manakala bagi kawasan terbuka akan dibina tembok dan projek berkenaan dijangka dijalankan dalam masa terdekat,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Media sebelum ini melaporkan pembinaan tembok keselamatan di sepanjang Sungai Golok, Rantau Panjang di Pasir Mas, Kelantan, kini bukan lagi pilihan, tetapi satu keperluan strategik untuk mengekang penyeludupan, sekali gus mempertahankan kedaulatan negara di sempadan Kelantan-Thailand.

Penduduk Rantau Panjang meminta kerajaan mempertimbangkan cadangan Datuk Mohd Yusoff berhubung pembinaan tembok keselamatan bagi menangani risiko banjir dan keselamatan sempadan yang semakin meruncing.

Mereka berharap tembok ‘dua dalam satu’ itu bukan saja menjadi benteng bagi melindungi sempadan negara daripada dibolosi, tetapi juga mampu menahan limpahan air Sungai Golok setiap kali musim tengkujuh yang mengancam rumah penduduk dan perniagaan di kawasan terbabit.

Ancaman limpahan air yang berlaku hampir setiap tahun itu membuatkan penduduk di kawasan sempadan berdepan kesukaran apabila rumah mereka ditenggelami air dan terpaksa menyimpan bekalan makanan sebagai persediaan sekiranya pihak berkuasa tidak dapat memasuki kawasan terjejas.

Seorang penduduk, Cik Jasmin Hassan, 65 tahun, berkata pelaksanaan projek tembok keselamatan tersebut adalah langkah segera untuk melindungi nyawa, harta benda dan kesejahteraan masyarakat sempadan.

Seorang lagi penduduk, Wan Faizal Che Rajiun, 50-an tahun, berkata pembinaan tembok sempadan adalah langkah terbaik untuk memudahkan tugasan pihak berkuasa menjaga kedaulatan negara, sekali gus menyukarkan aktiviti jenayah rentas sempadan termasuk penyeludupan barang terlarang.

Beliau berkata kemasukan pendatang asing secara tidak terkawal masih berlaku walaupun ramai yang ditangkap, dan dengan adanya tembok keselamatan diharap dapat mengurangkan risiko jenayah dari negara jiran, termasuk rompakan yang berpotensi mengancam keselamatan penduduk tempatan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg