Seramai 88 orang telah ditahan atas pelbagai kesalahan, termasuk gagal mengisytiharkan dan membayar cukai ke atas rokok, selepas operasi penguatkuasaan pelbagai agensi selama seminggu dijalankan merentasi pusat pemeriksaan darat, laut dan udara.
Dalam satu kenyataan bersama pada 18 Oktober, polis, Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA), Kastam Singapura dan Penguasa Sains Kesihatan (HSA) berkata lebih 14,000 pengembara dan 280 kenderaan telah melalui pemeriksaan semasa operasi itu, yang berlangsung antara 9 dan 15 Oktober.
Lebih 11,700 bagasi dan beg tangan telah diimbas atau digeledah, tambah pihak berkuasa, sebagai sebahagian daripada usaha untuk “mengesan dan menguatkuasakan terhadap ketidakpatuhan rejim pelaporan tunai rentas sempadan Singapura dan aktiviti penyeludupan rentas sempadan haram yang lain”.
Operasi itu menangkap 11 orang yang cuba membawa masuk wang tunai bernilai lebih daripada $20,000, atau setara dengannya dalam mata wang asing, ke Singapura tanpa membuat pengisytiharan, atau dengan pengisytiharan tidak tepat.
Kesemuanya adalah warga asing, dengan jumlah terbesar dikesan pada 13 Oktober apabila empat orang ditangkap secara berasingan cuba membawa masuk sejumlah lebih $1.2 juta dalam pelbagai mata wang.
Daripada 11 orang yang ditangkap, empat diberi amaran manakala enam dikenakan denda komposisi berjumlah $24,000. Siasatan terhadap individu terakhir sedang dijalankan.
Adalah satu jenayah untuk tidak melaporkan wang tunai atau mata wang lebih daripada $20,000 apabila melintasi sempadan Singapura. Jika didapati bersalah, pesalah boleh didenda sehingga $50,000, penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali. Wang tunai itu juga boleh dirampas.
Orang lain yang ditangkap dalam operasi itu termasuk 62 orang yang gagal mengisytiharkan dan membayar cukai, sama ada ke atas rokok atau produk tembakau, atau barangan yang melebihi elaun pelepasan import cukai barangan dan perkhidmatan mereka.
Jumlah duti dan GST yang dielakkan ialah $7,351, dan mereka itu didenda secara kolektif $20,615, ujar kenyataan itu.
Mereka dalam kumpulan ini termasuk pengembara yang ditemui dengan 31 paket rokok tanpa cukai, serta seorang anak kapal udara yang membawa CD, pakaian dan aksesori yang tidak diisytiharkan.
Sesiapa yang didapati bersalah melakukan penipuan mengelak kastam atau duti eksais boleh dikenakan denda sehingga 20 kali ganda jumlah yang dielakkan atau hukuman penjara sehingga dua tahun.
14 orang yang lain ditangkap secara berasingan memiliki e-vaporiser atau vape, dengan sejumlah 395 peranti dan komponen berkaitannya dirampas.
Seorang wanita berusia 25 tahun yang memasuki Singapura turut ditemui bersama 11 paket tembakau kunyah. Kesemua 15 orang itu telah dikenakan denda.
Sejak 1 September, Singapura telah melaksanakan peraturan yang lebih ketat terhadap vape, dengan penalti yang lebih tinggi dikenakan serta pemulihan mandatori untuk pesalah berulang.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg