Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

RM143j aset ‘Tan Sri’ disita SPRM, termasuk 4 ekor kuda dan 9 kereta mewah

Jun 4, 2025 | 3:42 PM
Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki. - Foto FACEBOOK SPRM

KUALA LUMPUR: Kemewahan luar biasa seorang pemegang konsesi lebuh raya bergelar Tan Sri terbongkar apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita pelbagai aset bernilai kira-kira RM143 juta ($43 juta), dipercayai hasil penyelewengan dana sukuk projek pembinaan lebuh raya di Lembah Klang.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata jumlah sitaan itu hasil siasatan intensif sejak minggu lalu yang melibatkan beberapa individu dan syarikat berkaitan.

Sitaan membabitkan 14 akaun individu berjumlah RM4.5 juta; lapan akaun syarikat bernilai RM33 juta; sebuah kondominium mewah serta sebidang tanah bernilai RM24.5 juta; dan sembilan kereta mewah bernilai RM7.65 juta, selain 13 lagi kereta yang masih belum diserahkan.

SPRM turut merampas koleksi peribadi Tan Sri itu yang merangkumi jam tangan mewah bernilai RM25 juta; tas tangan berjenama bernilai RM3 juta; barang kemas dan berlian bernilai RM6 juta; empat ekor kuda bernilai RM400,000; serta minuman beralkohol berjumlah RM3 juta.

Turut dikenal pasti ialah aset luar negara bernilai lebih RM15 juta serta rekod kegiatan perjudian yang dianggarkan sekitar RM20 juta.

“Hasil siasatan awal menunjukkan penyelewengan berlaku antara 2016 dengan 2020.

“Dana sukuk berjumlah kira-kira RM1.35 bilion telah disalah guna dengan tuntutan palsu bernilai RM360 juta dan RM416 juta, selain pinjaman fasiliti bank sebanyak RM50 juta,” katanya lapor Harian Metro pada 4 Jun.

Projek lebuh raya berkenaan, yang sepatutnya menelan kos RM1.67 bilion, turut gagal disiapkan dalam tempoh ditetapkan.

Tan Sri Azam menjelaskan, siasatan juga kini tertumpu kepada pembayaran rasuah bernilai RM12 juta kepada individu tertentu, dipercayai sebagai imbuhan untuk membantu mengalirkan dana secara haram yang kemudian dikembalikan kepada suspek utama.

“Sebahagian besar wang diseleweng ini dipercayai digunakan dalam aktiviti penggubahan wang haram secara kompleks, termasuk melalui rangkaian syarikat dan transaksi pelbagai peringkat,” katanya.

Golongan karyawan seperti juruaudit, pakar kewangan, jurutera serta syarikat proksi turut dipercayai digunakan bagi melindungi aliran kewangan mencurigakan.

Tan Sri Azam berkata pihaknya masih belum merakamkan keterangan Tan Sri terbabit kerana beliau sedang menerima rawatan di sebuah hospital swasta.

SPRM akan mendapatkan pengesahan kesihatan daripada doktor sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut.

Setakat ini, 45 individu telah memberi keterangan, dan beberapa saksi yang sudah dirakamkan kenyataan mereka dipanggil semula bagi membantu siasatan secara terperinci.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg