PENAMPANG (Sabah): Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata gejala rasuah di negara itu perlu ditangani secara tegas berlandaskan prinsip dan perundangan, bukannya dengan persepsi, fitnah atau maki hamun.
Beliau berkata Kerajaan Madani tidak sesekali membenarkan pemimpin memunggah hasil dan kekayaan negeri serta negara bagi menjadikan diri mereka kaya, manakala rakyat hidup kesusahan, sedangkan negara ini mempunyai undang-undang yang wajib dipatuhi bagi memberi keadilan kepada semua.
Justeru, dalam dakwaan video rasuah membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sabah, Datuk Anwar berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat perkara itu berdasarkan prosedur dan undang-undang.
Namun beliau kesal ada pihak membangkitkan persepsi kononnya kerajaan menutup kes terbabit.
“Tuduhan bahawa kita menutup (kes rasuah) itu persepsi. Dibangkitkan persepsi, terutama di bandar seolah-olah ada usaha menutup rasuah dan kesalahan, mereka mahu anda semua yakin negara ini tidak selamat.
“Negara ini negara hukum, bukan negara persepsi, bukan negara tuduhan dan fitnah,” katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Sabah di Penampang, pada 30 Mei, lapor Berita Harian Malaysia.
Menurut Datuk Anwar, siasatan terhadap perkara itu masih berjalan dengan video yang dikemukakan perlu diteliti.
Justeru semua pihak seharusnya memberi ruang sepenuhnya kepada SPRM menjalankan siasatan terhadap dakwaan terbabit.
Beliau berkata walaupun memegang jawatan Perdana Menteri, beliau tidak sama sekali campur tangan dalam kes dakwaan rasuah dan menjelaskan setiap pihak mempunyai tanggungjawab masing-masing berdasarkan sistem perundangan negara.
“Siasat itu kerja SPRM atau polis, dakwa itu kerja peguam negara, hukum itu kerja hakim dan saya sebagai Perdana Menteri harus jaga supaya sistem itu berjalan lancar dan berkesan.
“Bukan Perdana Menteri siasat, dakwa, hukum, hal itu diktator namanya… kita pernah lalui (keadaan itu) suatu ketika dulu, saya tahu, jadi jangan minta saya ulangi sistem seperti dulu,” katanya.
Datuk Anwar turut menegaskan beliau bukan seorang pemimpin diktator yang sewenang-wenangnya mengarahkan mana-mana individu ditahan atau disiasat.
Beliau menambah, setiap pendakwaan terhadap sebarang kes rasuah hanya boleh dilakukan dengan bukti, mengikut prosedur dan bukan berdasarkan arahan semata-mata.
“Saya bukan diktator yang (mengarah) tangkapan serta-merta. Saya tidak mahu menjadi Perdana Menteri yang bersikap ‘oh kita mesti tangkap’ atau ‘kita mesti dakwa’.
“Hakikatnya, perjuangan menentang rasuah mesti dijalankan di semua peringkat,” ujarnya.
Datuk Anwar turut menggesa semua pemimpin negeri dan masyarakat Sabah supaya bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan untuk mempertahankan kedaulatan, meningkatkan pembangunan sosioekonomi dan memperjuangkan hak serta hal-hal lain berkaitan kesejahteraan rakyat.
“Hubungan antara Kerajaan Persekutuan dengan Sabah harus intim serta berdasarkan sikap saling percaya dalam usaha membela nasib negeri ini dan rakyatnya,” kata Datuk Anwar.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg