KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan bahawa sekurang-kurangnya RM20 juta ($6.06 juta) daripada dana sukuk yang diperuntukkan bagi projek lebuh raya di Lembah Klang telah disalah guna untuk kegiatan perjudian.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata transaksi itu terbongkar ketika siasatan lanjut dibuat ke atas kes berkenaan.
“Saya telah dimaklumkan oleh pegawai penyiasat bahawa lebih RM20 juta mungkin telah digunakan untuk kegiatan perjudian.
“Kami juga menemui 300 botol minuman keras mewah di sebuah bilik simpanan,” katanya lapor New Straits Times.
Menurut Tan Sri Azam, SPRM masih menjejak aset di dalam dan luar negara, yang akan dibekukan atau disita bagi membantu siasatan lanjut, dengan setakat ini, pihaknya telah merakam keterangan 45 orang saksi.
Beliau berkata salah seorang suspek utama dalam kes itu, iaitu seorang individu bergelar Tan Sri, masih menerima rawatan di sebuah hospital swasta setakat 2 Jun.
Pada 1 Jun lalu, New Straits Times melaporkan SPRM telah menyita aset dan membekukan akaun bank berjumlah RM85.6 juta dalam siasatannya membabitkan penyalahgunaan dana sukuk untuk projek pembinaan lebuh raya.
Antara aset yang disita ialah 14 akaun peribadi bernilai RM4.5 juta; lapan akaun syarikat bernilai RM33 juta dan kenderaan mewah bernilai RM7.65 juta; selain beg tangan berjenama bernilai RM3 juta; jam tangan mewah bernilai RM7 juta; dan hartanah dengan anggaran nilai RM24.5 juta.
Dalam serbuan sebelum ini, SPRM telah menemui sebuah bilik simpanan yang dipenuhi pelbagai jenis minuman keras mewah bernilai kira-kira RM3 juta di sebuah kediaman, yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan pengubahan wang haram.
Pada Mei lalu, empat individu – termasuk seorang bergelar Datuk Seri – telah ditahan kerana disyaki mengemukakan tuntutan palsu berjumlah kira-kira RM360 juta.
Suspek yang terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 50 dengan 70 tahun ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM.
Mereka disyaki mengemukakan tuntutan palsu menggunakan dana sukuk yang diperuntukkan untuk projek lebuh raya di Lembah Klang bernilai kira-kira RM1.3 bilion, antara 2016 dengan 2017.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg