SEGAMAT (Johor): Kementerian Kerja Raya menganggarkan RM550,000 ($167,803) diperlukan bagi membaik pulih 15 bangunan kerajaan yang mengalami kerosakan kecil akibat gempa bumi lemah melanda daerah ini sejak 24 Ogos.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata kerosakan itu membabitkan beberapa bangunan antaranya lima sekolah, Kuarters Polis Daerah Segamat, Hospital Segamat, Klinik Kesihatan Bandar Putra, Kolej Komuniti Segamat, Pejabat Kadi Daerah dan kuarters kerajaan.
Beliau berkata daripada jumlah itu, RM185,000 diperuntukkan untuk baik pulih kos lima sekolah, diikuti RM70,000 (kuarters polis), Klinik Kesihatan Bandar Putra (RM15,000).
“Laporan awal hanya membabitkan lima bangunan kerajaan namun meningkat kepada 15 selepas berlaku enam kali gegaran susulan.
“Sejurus selepas gempa lemah, Jabatan Kerja Raya (JKR) Segamat menggerakkan pasukan teknikal memantau keselamatan struktur bangunan kerajaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati beberapa premis bangunan mengalami kerosakan kecil seperti keretakan pada permukaan plaster panel dinding, rengangan antara panel dinding dengan tiang, retakan penjuru dinding.
“Selain itu, berlaku regangan antara siling dengan dinding dan kemasan siling jatuh,” katanya pada sidang media selepas Taklimat Bencana Gempa Bumi dan Lawatan Kesan Gegaran di Pejabat JKR Segamat, pada 8 September.
Datuk Ahmad berkata semua kos kerosakan kecil bangunan kerajaan sudah pun diserahkan kepada kementerian masing-masing untuk peruntukan pembaikan, lapor Berita Harian Malaysia.
Katanya JKR akan bertindak sebagai pemantau kepada pelaksanaan kerja-kerja membaik pulih bangunan terbabit.
Dalam pada itu, Datuk Ahmad juga memberitahu sebanyak 62 buah rumah dan dua surau turut mengalami kerosakan kecil akibat gempa itu namun tiada kecederaan dilaporkan.
Terdahulu, lima gegaran direkodkan di Segamat bermula dengan kejadian pertama pada 6.13 pagi, 24 Ogos lepas dengan magnitud 4.1; 8.59 pagi, 27 Ogos (3.2); 7.56 malam, 28 Ogos (2.5); 4.24 pagi, 29 Ogos (3.4) dan 7.29 pagi 30 Ogos (2.7).
Pada 24 Ogos, satu gegaran turut direkodkan di Yong Peng, 28 kilometer Barat Laut Kluang dengan magnitud 2.8.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg