Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rombakan Kabinet Anwar percaturan ‘berani tapi berisiko’ jelang PRU16

Pelbagai reaksi tercetus termasuk daripada pembangkang kaitkan pelantikan beberapa menteri dengan kepentingan kaum
Dec 17, 2025 | 5:43 PM
rombakan Kabinet M’sia, politik, PM Anwar, Kerajaan Perpaduan
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim (kanan), berkenan mengurniakan surat cara pelantikan kepada Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan, pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Menteri dan Timbalan Menteri Persekutuan di Istana Negara, Kuala Lumpur, pada 17 Disember. - Foto BERNAMA

Rombakan Kabinet Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 16 Disember, disifatkan sebagai percaturan berani dan berisiko dengan perubahan portfolio dan penampilan muka baru yang dilihat boleh mencabar keupayaan pentadbiran kerajaan.

Pelbagai reaksi tercetus termasuk daripada pembangkang yang mengaitkan pelantikan beberapa menteri dengan kepentingan kaum dalam rombakan Kabinet itu.

Bagaimanapun pengamat mengakui rombakan Kabinet itu satu perubahan yang perlu dilakukan dalam usaha Datuk Anwar, juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), memperkukuh jentera pentadbirannya.

Ini terutama selepas kekalahan teruk parti kerajaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dan persediaan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) yang dijangka diadakan sebelum 2028.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, dilantik Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri dalam Kabinet baru.
Naib Presiden Umno, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, dilantik Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri dalam Kabinet baru. - Foto MALAYMAIL

Dalam rombakan Kabinet kali kedua dalam tempoh tiga tahun pentadbiran Datuk Anwar, antara yang menarik perhatian ialah pelantikan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) yang mengisi kekosongan ditinggalkan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Tengku Zafrul mengakhiri tugasnya sebagai Menteri Miti berkuat kuasa 2 Disember 2025, selepas tamat dua penggal lantikan sebagai senator.

Pengalaman Datuk Johari sebagai mantan Menteri Kewangan Kedua dalam kerajaan terdahulu pada 2016 hingga 2018, diyakini mampu memberi kesan positif kepada pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

Antara lantikan lain yang mencetus kontroversi ialah beberapa jawatan dipegang pemimpin Parti Tindakan Demokratik (DAP), termasuk Cik Hannah Yeoh, sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Wilayah Persekutuan, menggantikan Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, yang digugurkan daripada Kabinet Kerajaan Madani.

Cik Hannah Yeoh dilantik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Wilayah Persekutuan dalam Kabinet baru.
Cik Hannah Yeoh dilantik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Wilayah Persekutuan dalam Kabinet baru. - Foto ihsan HANNAH YEOH

Pemilihan Timbalan Setiausaha Agung DAP dan Pengerusi DAP Pulau Pinang, Encik Steven Sim, yang bertukar portfolio sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi turut mengundang pelbagai spekulasi.

Parti Islam SeMalaysia (PAS) menyentuh pelantikan beberapa menteri dan timbalan menteri yang dilihat menimbulkan keraguan serius berkait isu kekananan, pengalaman, kecekapan, keterampilan, kredibiliti dan kesesuaian.

Malah, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, dalam kenyataan pada 17 Disember menyifatkan pelantikan beberapa menteri dan timbalan menteri daripada DAP dalam beberapa portfolio penting sebagai percaturan sengaja bagi mengukuhkan penguasaan DAP di Kuala Lumpur dan pusat bandar utama lain di Malaysia.

PAS turut mengaitkan barisan Kabinet baru itu dengan ancaman terkini daripada DAP sebelum ini kepada Datuk Anwar.

“Tanpa justifikasi meyakinkan bagi menyokong rombakan Kabinet dan pelantikan yang dibuat akan hanya memperkuatkan tanggapan bahawa kedudukan dalam Kabinet telah diagih-agihkan mengikut selera dan nafsu politik, bukan kepentingan rakyat dan negara.

“Pemusatan pentadbiran strategik bandar, kerajaan tempatan, perumahan dan pihak berkuasa tempatan di tangan pemimpin daripada sebuah parti dan etnik boleh menimbulkan persoalan besar, sah dan tidak dapat dielakkan berkait isu ketidakseimbangan dan pemusatan kuasa melampau serta hala tuju sebenar pentadbiran negara,” katanya.

Bagaimanapun, Zamil Majlis Profesor Negara dan Geostrategis Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Profesor Dr Azmi Hassan, melihat rombakan Kabinet itu lebih bersifat keperluan pentadbiran berbanding tekanan politik dalaman parti.

“Rombakan itu dibuat menyusuli kewujudan empat kekosongan jawatan menteri yang tidak boleh dibiarkan berlarutan, walaupun tempoh berbaki sebelum PRU16 hanya sekitar dua tahun. 

“Dalam konteks kerajaan pelbagai gabungan yang merangkumi pelbagai parti, sebarang perubahan perlu dilakukan dengan berhati-hati bagi mengelak gangguan keseimbangan kuota dan keharmonian politik,” katanya kepada Berita Harian (BH).

Profesor Dr Azmi berkata barisan muka baru dalam lantikan Kabinet itu adalah risiko yang diambil Datuk Anwar, namun beliau yakin ia mampu mencapai sasaran Perdana Menteri untuk menarik pengundi menjelang PRU akan datang.

Profesor Kehormat Sains Politik, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid, pula berpandangan susunan baru Kabinet itu mencerminkan pertimbangan strategik Datuk Anwar untuk memastikan kestabilan kerajaan dalam tempoh berbaki kira-kira dua tahun sebelum PRU16, berbanding menampilkan agenda reformasi secara menyeluruh.

Beliau berkata langkah tersebut berkemungkinan dibuat bagi mengelakkan sebarang risiko penarikan sokongan daripada parti komponen tertentu dalam Kerajaan Perpaduan, termasuk rakan PH sendiri. 

“Kabinet ini dilihat disusun dengan mengambil kira keperluan politik semasa dan persediaan menghadapi PRU akan datang,” katanya, sambil menambah pendekatan itu mungkin mengecewakan kelompok idealis dan akademik yang mengharapkan reformasi lebih berani.

Encik Adam Adli dilantik Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi dalam Kabinet baru.
Encik Adam Adli dilantik Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi dalam Kabinet baru. - Foto MALAYMAIL

Beliau antara lain menyentuh pelantikan, Encik Adam Adli, daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebagai Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, yang disifatkan tidak sesuai mengambil kira sejarahnya sebagai pencetus masalah dengan pelbagai bantahan terhadap sistem pendidikan tinggi negara ketika menjadi pembangkang.

“Ia amat kontra dengan Menterinya, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir. Inilah antara yang buat saya katakan pelantikan barisan Kabinet baru ini sebagai misteri.

“Namun Datuk Anwar mungkin ada strategi tersendiri dan pembentukan Kabinet ini adalah hak beliau.

“Ia juga mungkin satu pendedahan yang baik untuk Encik Adam menimba pengalaman lebih luas dalam pentadbiran kerajaan,” katanya kepada BH.

Rombakan Kabinet itu menyaksikan dua nama menteri dan seorang timbalan menteri digugurkan, enam timbalan menteri dinaikkan pangkat ke jawatan menteri, serta sembilan pelantikan baru merangkumi 18 perubahan portfolio.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg