Kabinet Persekutuan pimpinan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dikatakan akan menjalani rombakan dalam masa terdekat, berikutan beberapa kekosongan jawatan menteri termasuk kekosongan yang akan berlaku pada Disember 2025.
Spekulasi rombakan Kabinet diperkuat dengan perkembangan terkini pengumuman oleh Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko), Datuk Ewon Benedick, untuk meletak jawatan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
Datuk Ewon yang mengesahkan akan meletakkan jawatan itu menerusi satu hantaran di Facebook pada 8 November berkata keputusan itu diambil kerana tidak bersetuju dengan pendirian Jabatan Peguam Negara (AGC) berkaitan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu (Sabah) pada 17 Oktober lalu, membabitkan hak 40 peratus Sabah.
Beliau menegaskan peletakan jawatan itu menyusul kerana beliau berpegang kepada prinsipnya, sepertimana dalam Perlembagaan Upko untuk terus memperjuangkan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan hak-hak Sabah dalam Perlembagaan Persekutuan.
Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 10 November mengesahkan tiada agenda untuk membincangkan rombakan Kabinet dalam Mesyuarat Kabinet Khas pada 11 November.
Spekulasi rombakan Kabinet itu juga kian hangat selepas Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir, pada 7 November memberi bayangan rombakan Kabinet akan berlaku dalam masa terdekat.
Rombakan itu dikatakan menyusuli tempoh beberapa ahli Jemaah Menteri dan Timbalan Menteri berstatus Senator yang bakal menamatkan penggal perkhidmatan mereka pada Disember 2025.
Ia termasuk Datuk Zambry yang juga Setiausaha Agung BN yang mengangkat sumpah sebagai Senator pada 2 Disember 2022 di Istana Negara, sebelum dilantik sebagai Menteri Pertahanan dan kemudian ditukar kepada Menteri Pendidikan Tinggi.
Turut mengangkat sumpah Senator pada tarikh sama ialah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Selain itu Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, juga akan menamatkan tempoh dua penggal tetapnya sebagai Ahli Dewan Negara.
Mengikut perlembagaan Malaysia, tempoh jawatan seseorang Senator adalah tiga tahun dan boleh dilanjutkan sehingga dua penggal.
Andai rombakan Kabinet itu berlaku, ia adalah rombakan kali kedua dalam tempoh tiga tahun Datuk Anwar mengemudi Kerajaan Perpaduan, selepas dilantik sebagai Perdana Menteri pada November 2022.
Rombakan Kabinet kali pertama berlaku pada Disember 2023, selain beberapa perubahan kecil dalam Kabinet terutama selepas dua menteri dari parti pimpinan Datuk Anwar meletak jawatan pada Mei lalu.
Mereka ialah Ahli Parlimen (AP) Pandan yang juga mantan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli yang meletak jawatan sebagai Menteri Ekonomi dan mantan Naib Presiden PKR merangkap AP Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad yang melepaskan jawatan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, selepas tewas dalam pemilihan dalaman PKR.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg