Topik diikuti
Pergi ke BHkuRosmah terharu Tabung Solidariti Najib terima sumbangan dari dalam, luar negara
Terima sumbangan daripada rakan dan kenalan dari S’pura, Brunei, Italy dan Canada bantu Najib bayar denda RM50j
Rosmah terharu Tabung Solidariti Najib terima sumbangan dari dalam, luar negara
Cik Rosmah Mansor, isteri kepada bekas Perdana Menteri Malaysia yang dipenjarakan, Encik Najib Tun Razak, menzahirkan penghargaan terhadap semua pihak dari dalam dan luar negara, yang menyumbang kepada kutipan dana bagi membayar denda RM50 juta ($15.62 juta) yang dikenakan terhadap suaminya.
Dalam kenyataan di media sosialnya, Cik Rosmah tersentuh dengan sokongan dan sumbangan yang diterima bukan saja dari Malaysia, malah dari rakan-rakan dan kenalan di Singapura, Brunei, Italy, termasuk Canada.
Beliau berkata semuanya hanya mahu melihat Encik Najib kembali bersama keluarga.
“Syukur Alhamdullillah. Saya benar-benar terharu.
“Bukan sahaja sumbangan yang dihulurkan daripada rakan-rakan dan sahabat taulan di sini (Malaysia), tetapi juga dengan rakan-rakan dari luar negara, dari Brunei, Italy, Singapura, dan negara lain, termasuk sejauh Canada.
“Mereka telah menghubungi saya untuk menyatakan kegembiraan mereka terhadap perkembangan terkini mengenai Datuk Seri Najib sambil menyatakan hasrat untuk memberi sumbangan.
“Mereka hanya mahu melihat Datuk kembali bersama keluarga. Itu sahaja,” tulisnya di media sosial.
Cik Rosmah berkata beliau tidak pernah menyangka begitu ramai yang masih mengambil berat dan sanggup tampil membantu dengan penuh keikhlasan.
“Hari ini, saya sedar siapa sahabat yang sentiasa bersama kami ketika susah dan senang.
“Alhamdulillah, terima kasih sekali lagi atas segala doa, kasih sayang dan keikhlasan kalian,” ujarnya, sambil tulisan itu diakhiri dengan emoji simbol hati berwarna merah.
Hantaran Cik Rosmah itu menyusuli keputusan Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-64 pada 18 September, yang bersetuju memberikan pengampunan bersyarat kepada bekas Presiden Umno itu, dengan menjalani baki hukuman penjaranya secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028.
Mesyuarat dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, itu bagaimanapun menetapkan keputusan itu tertakluk kepada pembayaran denda sebanyak RM50 juta ($15.6 juta) dan pematuhan terhadap semua syarat yang ditetapkan.
Berikutan itu, Umno melancarkan Tabung Solidariti untuk mengutip sumbangan orang ramai bagi membantu Encik Najib membayar denda RM50 juta berkenaan.
Sementara itu, anak Encik Najib, Cik Nooryana Najwa, berkata bapanya tersentuh melihat orang ramai tampil menyumbang kepada Tabung Solidariti itu.
“Daddy betul-betul tak sangka begitu ramai yang sanggup menyumbang. Saya tidak akan sesekali memaksa sesiapa untuk menyumbang,” katanya tulisnya di media sosial pada 20 September.
Cik Nooryana Najwa berkata sekiranya jumlah RM50 juta itu berjaya dikumpulkan menerusi sumbangan sukarela Tabung Solidariti terbabit, urusan pembayaran dan proses seterusnya akan dilakukan melalui saluran rasmi.
Pada Julai 2020, Encik Najib yang disabitkan atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International didenda RM210 juta dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun, yang kemudian dikekalkan Mahkamah Persekutuan pada Ogos 2022.
Pada Februari 2024, Lembaga Pengampunan kemudian mengurangkan hukuman penjaranya kepada enam tahun dan denda kepada RM50 juta.
