Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Roti pocong, tembikai ‘Squid Game’ menu menarik iftar di M’sia

Saji kelainan tarik pelanggan di sebalik persaingan hebat niaga bazar Ramadan
Mar 14, 2025 | 3:46 PM
Encik Muhammad Firdaus Kamaruddin, 39 tahun, menunjukkan roti pocong dijualnya di samping replika pocong di gerainya dekat bazar Ramadan Taman Seremban Jaya, Negeri Sembilan.
Encik Muhammad Firdaus Kamaruddin, 39 tahun, menunjukkan roti pocong dijualnya di samping replika pocong di gerainya dekat bazar Ramadan Taman Seremban Jaya, Negeri Sembilan. - Foto BH oleh HANNEEYZAH BAHARIN

Bagi menyajikan kelainan dan keunikan untuk menarik pelanggan, pelbagai kreativiti dilakukan peniaga di sebalik persaingan hebat perniagaan di bazar Ramadan serata Malaysia.

Roti pocong, air tembikai Squid Game dan lemak bakar antara hidangan istimewa untuk berbuka puasa yang boleh ditemui di bazar Ramadan pada 2025 ini.

Di bazar Ramadan Taman Seremban Jaya, Negeri Sembilan, roti pocong dijual peniaga martabak, Encik Muhammad Firdaus Kamaruddin, 39 tahun, menjadi rebutan pelanggan.

Roti pocong adalah roti canai yang berintikan daging salai barbeku (smoked) yang disalut dengan telur dadar, sebelum dibentukkan seperti pocong dan digoreng seperti martabak.

Lebih menarik, replika pocong turut ‘menyambut’ pelanggan ke gerai Encik Muhammad Firdaus.

Kongsinya idea untuk menjual roti pocong timbul selepas memikirkan kelainan yang perlu dibawa untuk menarik perhatian pelanggan membeli martabak di gerainya.

“Walaupun namanya sudah unik, kita juga tidak berkompromi daripada segi rasa. Kalau inti martabak ada dicampurkan bawang, tetapi roti pocong sepenuhnya berintikan daging.

“Sosnya juga ada dua pilihan, carbonara spicy dan cheesy yang dibuat sendiri,” katanya sambil berkongsi setiap hari, dianggarkan 300 roti pocong berharga RM10 setiap ($3) satu habis dijual.

Di Bazar Ramadan Meru Raya, Ipoh, Perak, pula, peminat drama Korea, Cik Nur Nadira Muhammad Nazir, 21 tahun, tampil dengan idea kreatif menjual air balang jus tembikai pelbagai perisa sambil memakai kostum siri popular Korea, Squid Game. 

Gerai King of Tembikai yang diusahakan Cik Nur Nadira menjual jus tembikai dalam lima perisa iaitu tembikai asli, tembikai sarbath, tembikai extra joss, tembikai kelapa dan tembikai mojito pada harga antara RM5 hingga RM8.

“Saya memilih untuk memakai kostum dan topeng Squid Game ini kerana sangat meminati siri popular itu, sekali gus mendapat idea ini untuk menarik orang ramai datang membeli di gerai kami.

“Walaupun mencabar kerana menahan bahang panas dengan kostum yang agak tebal, Alhamdulillah, saya gembira kerana usaha ini membuahkan hasil dan ramai membeli,” katanya yang memperuntukkan RM300 untuk membeli kostum dan anak patung Squid Game yang digantung di hadapan gerai.

Di bazar Ramadan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan, Cik Norhasuzi Othman, 45 tahun, pula tidak menang tangan memenuhi permintaan pelanggan untuk membeli lemak bakar dijualnya.

Kata Cik Norhasuzi, lemak daripada daging diperap dan kemudian dipanggang di atas bara menjadi hidangan unik yang terdapat di Kelantan setiap kali tibanya Ramadan.

“Setiap hari saya menjual sekitar 60 kilogram lemak bakar. Kebanyakan peniaga hanya menjualnya ketika Ramadan menjadikan makanan ini sentiasa dinanti-nantikan,” katanya yang sudah 20 tahun berniaga di bazar itu, lapor Harian Metro.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg