Topic followed successfully
Go to BHkuRumah Bangsa: Umno N9 terima permohonan tiga mantan ahli untuk kembali
Rumah Bangsa: Umno N9 terima permohonan tiga mantan ahli untuk kembali
Rumah Bangsa: Umno N9 terima permohonan tiga mantan ahli untuk kembali
SEREMBAN (Negeri Sembilan): Umno Negeri Sembilan menerima tiga permohonan rayuan bekas pemimpin dan ahlinya untuk kembali menyertai parti itu menerusi inisiatif Rumah Bangsa.
Pengerusi Umno Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, berkata permohonan setakat ini turut membabitkan mantan Ketua Umno Bahagian Jempol yang juga mantan Ahli Parlimen (AP) Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif, manakala dua lagi adalah pimpinan peringkat bahagian Jelebu dan Rasah.
Beliau berkata Umno Negeri Sembilan bersikap terbuka terhadap mana-mana bekas ahli yang berhasrat untuk menyertai semula parti menerusi Rumah Bangsa.
“Mesyuarat Umno negeri baru-baru ini bersetuju untuk mengemukakan permohonan berkenaan kepada Jawatankuasa Khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang dipengerusikan Naib Presiden, Datuk Seri Mohd Khalid Nordin.
“Saya serahkan kepada MKT untuk membuat keputusan,” katanya yang juga Ahli MKT Umno kepada media Malaysia di Wisma Negeri, Negeri Sembilan, pada 8 April, lapor Berita Harian Malaysia.
Beliau berkata Rumah Bangsa adalah landasan kepada penyatuan ahli, terutama mereka yang telah dikenakan tindakan disiplin atau dipecat atau keluar parti ketika Umno menghadapi krisis dalaman sebelum ini.
“Umno negeri alu-alukan dan terima semua permohonan mereka yang terbabit tanpa syarat.
“Kita juga tidak mengadakan sebarang kempen kerana semua sedia maklum mengenai inisiatif Rumah Bangsa yang dicetuskan sendiri oleh Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Sebenarnya di Negeri Sembilan, tidak ramai yang dipecat atau keluar parti, namun saya yakin dan percaya akan ada lagi permohonan selepas ini terutama dari peringkat akar umbi,” katanya.
Datuk Jalaluddin percaya kemasukan semula pemimpin dan ahli akan memberikan kekuatan dan kemantapan kepada Umno menjelang pilihan raya akan datang.
Di pentas Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2025 pada Januari lalu di Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Zahid, mengumumkan penubuhan sebuah jawatankuasa yang dirujuk sebagai Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa untuk meneliti penyertaan semula mana-mana bekas ahli parti itu.
Pada 15 Mac lalu, mantan Ketua Pemuda Umno, Encik Khairy Jamaluddin, yang dipecat daripada Umno pada 2023 kembali mencuri perhatian politik Malaysia apabila beliau menghantar surat rayuan kepada Datuk Ahmad Zahid, untuk menyertai semula Umno.
Menurut Datuk Ahmad Zahid, langkah mantan Menteri Kesihatan itu yang lebih dikenali sebagai KJ membawa maksud besar di sebalik konsep Rumah Bangsa yang diumumkannya di pentas PAU 2025 lalu.
Ketika itu Datuk Ahmad Zahid berkata Rumah Bangsa bertujuan menyeru anggota parti yang pernah dipecat, digantung atau telah meninggalkan Umno untuk kembali kepada parti.
Selain Encik Khairy, ramai lagi pemimpin Umno termasuk yang digantung enam tahun sejak 2023 iaitu AP Sembrong (Johor), Datuk Seri Hishammuddin Hussein, dijangka kembali ke dalam Umno.

