ISKANDAR PUTERI: Bagi mengelakkan kepupusan dugong di Malaysia, Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) mengambil inisiatif melaksanakan penanaman semula rumput laut di Pulau Tinggi dan Pulau Sibu, Mersing, Johor, yang merupakan kawasan ragut dan habitat mamalia itu.
Timbalan Ketua Pengarah Perikanan (Pengurusan), Encik Wan Muhammad Aznan Abdullah, berkata usaha itu dilakukan bagi menarik kehadiran dugong di kedua-dua pulau yang diwartakan sebagai Taman Laut.
Menurutnya DOF akan bekerjasama dengan institut pengajian tinggi awam (IPTA) berkaitan bagi menghidupkan semula kawasan perlindungan dugong di perairan Mersing.
“Seperti di Pulau Tinggi, kadangkala arus terlalu kuat dan akan menolak rumput laut yang tumbuh.
“Oleh sebab itu kita juga akan buat terumbu untuk membangunkan batu karang supaya rumput laut dapat berlindung daripada arus.
“Selain itu, kita juga akan meletakkan kima (sejenis kerang laut) untuk membantu habitat dugong ini, kerana rumput laut juga akan hidup di kima dan seterusnya dimakan dugong,” katanya lapor Kosmo!.
DOF sebelum ini memaklumkan Kepulauan Mersing merupakan lokasi dugong kerap dijumpai.
Namun disebabkan ancaman terhadap habitat dan ekosistem rumput laut, populasi mamalia itu semakin berkurang.
“Terdapat sekurang-kurangnya 19 kematian dugong direkodkan antara 2015 dengan 2022, dengan kebanyakannya anak dugong.
“Walaupun tiada anggaran bilangan tepat bagi populasi dugong di Kepulauan Mersing, Kajian Mamalia Laut dan Pemuliharaan (MareCet) mencadangkan bahawa populasi dugong di kawasan itu tidak melebihi 100 ekor dan besar kemungkinan mempunyai bilangan kurang daripada 100 ekor,” katanya.
Dalam isu berasingan, Encik Wan Muhammad Aznan berkata analisis terkini contoh air dan kupang di perairan Port Dickson, Negeri Sembilan, yang sebelum ini dicemari biotoksin berbahaya mendapati hasil laut itu masih tidak selamat untuk dimakan.
“DOF akan terus menjalankan pemantauan sehingga bacaan kembali ke paras normal dan kupang selamat untuk dimakan.
”Sehingga kini, larangan kepada pengusaha untuk tidak menjual kerang-kerangan atau dua cangkerang dari Port Dickson masih terpakai demi keselamatan pengguna,” katanya. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg