Sabah dan Johor bakal memperkukuh kerjasama dalam bidang pemuliharaan warisan serta pelancongan berasaskan budaya menerusi pertukaran kepakaran, pembangunan muzium dan promosi pelancongan bersama.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin, berkata usaha itu akan menjadi antara fokus utama susulan lawatan kerja rasmi beliau ke Muzium Diraja Abu Bakar di Istana Besar Johor pada 13 Julai.

Beliau berkata lawatan berkenaan memberi peluang kepada delegasi Sabah meneliti amalan terbaik dalam aspek pemuliharaan warisan, pengurusan muzium dan pembangunan produk pelancongan budaya yang dilaksanakan di Johor.

“Warisan bukan sekadar tinggalan sejarah, tetapi aset yang membentuk identiti, menyatukan rakyat dan menjadi pemangkin kepada pembangunan pelancongan yang mampan.

“Lawatan ini memberi pendedahan berharga mengenai kaedah memelihara khazanah sejarah, di samping meningkatkan pengalaman pelawat menerusi pengurusan muzium yang berkualiti,” katanya dalam satu kenyataan pada 17 Julai.

Datuk Jafry berkata pengalaman dan pengetahuan yang diperoleh akan dimanfaatkan dalam usaha memperkukuh pemeliharaan serta promosi warisan budaya Sabah.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pengarah Muzium Diraja Abu Bakar, Yang Berhormat Kolonel Datuk Mohamed Perang Musa (B), serta Kurator Muzium Diraja Abu Bakar, Encik Mohd Azlan Hafiz Mohti, atas sambutan mesra dan perkongsian ilmu sepanjang lawatan tersebut.

Menurut beliau, terdapat potensi besar untuk kedua-dua negeri memperluaskan kerjasama melalui pertukaran kepakaran profesional, inisiatif pemuliharaan warisan, jaringan muzium serta pembangunan program pelancongan budaya secara bersama.

“Kerjasama ini bukan sahaja akan memperkayakan landskap pelancongan budaya Malaysia, malah meningkatkan pengalaman pelawat di kedua-dua negeri,” katanya.

Datuk Jafry berkata kementeriannya komited menjadikan warisan dan kebudayaan sebagai antara tonggak utama pembangunan pelancongan Sabah menjelang Tahun Melawat Sabah 2027.

Beliau berkata usaha berkenaan penting bagi memastikan kekayaan sejarah, budaya dan tradisi Sabah terus dipelihara, diraikan serta diperkenalkan kepada masyarakat antarabangsa.

Katanya, hubungan strategik antara Sabah dan Johor diharap dapat diperkukuhkan lagi pada masa hadapan melalui pelaksanaan lebih banyak program kerjasama yang memberi manfaat kepada industri pelancongan kedua-dua negeri dan negara secara keseluruhannya.