Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sahur terakhir sebelum maut tertimbus tanah runtuh di Sabah

Mar 5, 2025 | 11:36 AM
Tanah runtuh yang meranapkan sebuah rumah yang didiami dua beranak di Kampung Lok Bonu, Sepanggar, Sabah.
Tanah runtuh yang meranapkan sebuah rumah yang didiami dua beranak di Kampung Lok Bonu, Sepanggar, Sabah. -  Foto NSTP

KOTA KINABALU (Sabah): Seorang ibu yang baru selesai bersahur, maut selepas tertimbus bersama rumahnya dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Lok Bonu, Sepanggar, di sini, awal pagi 5 Mac.

Dalam kejadian kira-kira 4 pagi, Cik Sitti Harija Norulla, 53 tahun, dilaporkan meninggal dunia selepas tertimbus dalam tanah runtuh yang meranapkan rumahnya.

Seorang anak mangsa dikenali hanya sebagai Al, 39 tahun, berkata ketika kejadian beliau sedang bekerja di sebuah kilang tidak jauh dari rumah keluarganya.

Ketika itu, katanya, arwah ibu dan adiknya iaitu Encik Zulkiman, 25 tahun, dikatakan baru selesai bersahur bersama sebelum terdengar bunyi kuat.

“Menurut adik, dia cuba keluar untuk memeriksa keadaan, tiba-tiba berlaku gegaran. Adik beritahu masa itu dia cuba menarik tangan ibu untuk keluar, namun gegaran sangat kuat dan dia terus tercampak.

“Rumah kami pun sudah bergerak beberapa meter dari tempat asal. Saya kemudian dihubungi bergegas pulang dan cuba mencari bersama penduduk kampung sebelum menemukan ibu dalam timbunan tanah runtuh,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, lapor Berita Harian Malaysia.

Menurutnya, beliau dan penduduk kampung cuba mengeluarkan ibunya, namun terlalu sukar dan terus menghubungi pihak berkuasa untuk mendapatkan bantuan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Encik Ordine Gilu, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada 4.32 pagi.

Katanya, sepasukan 11 anggota dan pegawai bomba bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) telah dikerahkan ke tempat kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, didapati tanah runtuh menimbus sebuah rumah berkeluasan 14 meter persegi yang musnah sepenuhnya.

“Terdapat dua mangsa terbabit dan seorang daripadanya wanita berusia 53 tahun tertimbus dan berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia, manakala seorang lagi mangsa selamat tanpa sebarang kecederaan,” katanya.

Menurutnya, kerja pemantauan di tempat kejadian masih giat dijalankan dan sebarang maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg