Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Salah guna kuasa: Mahkamah Rayuan tolak permohonan Muhyiddin

Sep 11, 2024 | 2:19 PM
Mantan Perdana Menteri kelapan merangkap Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah) diiringi pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Istana Kehakiman Putrajaya pada 11 September.
Mantan Perdana Menteri kelapan merangkap Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah) diiringi pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Istana Kehakiman Putrajaya pada 11 September. - Foto ASTRO AWANI

PUTRAJAYA: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, kekal berdepan empat tuduhan kes salah guna kuasa membabitkan nilai RM232.5 juta ($69.8 juta), selepas gagal dalam permohonannya untuk menyemak keputusan Mahkamah Rayuan mengembalikan tuduhan berkenaan terhadapnya.

Panel lima hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Datuk Azizah Nawawi, sebulat suara bersama Datuk Ruzima Ghazali, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azhahari Kamal Ramli, menolak permohonan mantan Perdana Menteri itu selaku pemohon dalam semakan terbabit.

Berikutan keputusan tersebut, Tan Sri Muhyiddin akan kembali menghadapi tuduhan itu di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik, yang mewakili Tan Sri Muhyiddin berkata pihaknya akan meneliti dan mengkaji peruntukan undang-undang berkaitan.

“Kami hormati keputusan mahkamah. Walaupun kecewa dengan keputusan hari ini, kami akan mengkaji alasan-alasan diberikan mahkamah.

“Mahkamah pada dasarnya bersetuju dengan hujah kami, kecuali mahkamah hari ini bersetuju bidang kuasa mahkamah tinggi merangkumi semakan kehakiman,” katanya, lapor Astro Awani.

Pada 15 Ogos 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Tan Sri Muhyiddin, 77 tahun, daripada empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk rasuah RM232.5 juta bagi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ini selepas Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Muhammad Jamil Hussin, terkhilaf apabila membatalkan semua tuduhan itu serta melepas dan membebaskan Tan Sri Muhyiddin, selepas mendapati keempat-empat tuduhan berkenaan adalah cacat, tidak berasas dan tidak jelas.

Namun, pada 28 Februari lalu, panel tiga hakim di Mahkamah Rayuan, mengarahkan kes itu dikembalikan ke Mahkamah Sesyen untuk tindakan lanjut, selepas membenarkan rayuan pendakwaan.

Pada 27 Mac lalu, Tan Sri Muhyiddin mengemukakan permohonan semakan semula keputusan itu atas alasan ia tidak sah kerana dibuat tanpa bidang kuasa diperlukan mengikut Seksyen 50(1) Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Mengikut tuduhan, Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kelapan ketika itu dan Presiden Bersatu, didakwa menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta berkaitan Projek Jana Wibawa daripada tiga syarikat.

Syarikat terbabit ialah Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff bagi parti berkenaan.

Selain empat tuduhan itu, Tan Sri Muhyiddin turut berdepan dua lagi tuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram (AMLA) berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity yang dimasukkan ke akaun bank CIMB milik Bersatu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg