Dua syarikat media di Malaysia disiasat pihak berkuasa dan bakal berdepan tindakan undang-undang akibat kesilapan menyiarkan bendera Malaysia yang dipanggil, Jalur Gemilang, secara tidak lengkap dalam penerbitan mereka.
Kesalahan dilakukan syarikat akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily dan Kwong Wah Yit Poh itu turut mengundang teguran Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, yang menegaskan kesilapan memaparkan gambar, Jalur Gemilang tanpa simbol bulan sabit sebagai tidak boleh diterima.
Sultan Ibrahim menegaskan bendera negara adalah lambang kedaulatan dan identiti sesebuah negara yang tidak boleh dipersendakan.
Tegas Sultan Ibrahim, bendera bukan sekadar kain bercorak yang berwarna-warni, sebaliknya ia mewakili perjuangan, sejarah, kemerdekaan dan semangat rakyat jelata.
“Kita sebagai rakyat mengibarkan bendera dengan rasa megah dan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa.
“Kesilapan memaparkan gambar Jalur Gemilang tanpa bulan sabit seperti disiarkan dalam muka depan sebuah akhbar berbahasa Cina tempatan boleh mencetuskan sensitiviti rakyat dan tidak boleh diterima,” katanya dalam hantaran melalui Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, pada 16 April.
Sejauh ini Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah menerima 40 laporan polis di seluruh Malaysia yang menuntut pihak berkuasa menjalankan siasatan dan mengambil tindakan tegas terhadap syarikat media berkenaan.
Sin Chew Daily telah melakukan kesilapan dengan menyiarkan gambar Jalur Gemilang tanpa simbol bulan sabit yang menjadi lambang kepada kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan di Malaysia pada muka depan akhbarnya bertarikh 15 April, iaitu pada hari ketibaan Presiden China, Encik Xi Jinping, ke Malaysia sempena lawatan negara.
Kwong Wah Yit Poh pula melakukan kesalahan sama di akaun Facebook rasminya pada 16 April.
Setakat ini Ketua Polis Malaysia, Tan Sri Razarudin Husain, berkata PDRM telah memanggil Ketua Pengarang dan Timbalan Ketua Pengarang, Sin Chew Daily, untuk dirakam keterangan berhubung kesilapan itu.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pula dalam satu kenyataan memaklumkan memanggil pihak akhbar, Kwong Wah Yit Poh, untuk siasatan lanjut.
Sementara itu, Sin Chew Daily, dalam satu kenyataan pada 16 April menyatakan rasa sesal atas kesilapan teknikal yang terjadi dan memaklumkan pihaknya sudah menjalankan siasatan dalaman secara terperinci berkaitan kejadian itu dan memberi jaminan petugas yang bertanggungjawab akan berdepan tindakan disiplin.
“Jabatan Pengarang Sin Chew Daily sudah menambah baik prosedur semakan khususnya dalam aspek penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI).
“Kami berjanji untuk lebih berwaspada dan peka dalam menangani isu yang boleh menjejas maruah negara dan hubungan antara kaum,” jelas kenyataan itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg