KUALA LUMPUR: Sebanyak 12 parti pembangkang di Malaysia bersetuju membentuk satu gabungan longgar, bagi memperjuangkan isu-isu rakyat yang mereka dakwa gagal diselesaikan kerajaan hari ini, termasuk janji reformasi.
Gabungan itu terdiri daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu); Parti Islam SeMalaysia (PAS); Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan); Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang); Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).
Parti lain ialah Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra); Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Parti Sosialis Malaysia (PSM), Parti Kemajuan Malaysia (MAP), dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman).
Sebuah lagi organisasi yang terlibat ialah parti yang belum didaftarkan secara rasmi - Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai).
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bagaimanapun berkata nama bagi gabungan itu hanya akan diumumkan pada mesyuarat mereka yang akan datang.
“Kami sepakat di sini - tak ada satu pimpinan parti yang tak setuju - ini satu perkara perlu diberi perhatian dan keutaman termasuk soal Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) yang sedang dibentang dan dibahas (yang) dilihat tak dapat selesai banyak isu utama oleh kerajaan,” katanya pada sidang media selepas pertemuan dengan pemimpin parti-parti tersebut di Kuala Lumpur, pada 18 Ogos.
Tan Sri Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) menambah, langkah membentuk gabungan itu adalah tindakan pertama diambil sebelum diikuti dengan keputusan lain kemudian.
Antara lain, katanya mereka akan berbincang dengan kumpulan masyarakat seperti peniaga, penguasaha, dan kumpulan tertentu bagi mendekati masalah yang mereka hadapi serta mencadangkan pendekatan tertentu untuk diambil kerajaan.
Tan Sri Muhyiddin berkata gabungan parti-parti itu adalah sebuah badan yang longgar dan bukan gabungan politik yang berdaftar secara rasmi.
“Ia bukan satu parti, banyak parti. (Gabungan ini) longgar untuk membolehkan kami jemput semua pimpinan parti yang ada.
“Ia tak semestinya dalam PN untuk bincang sesuatu perkara, sebaliknya fokus kami mencari jalan membantu selesaikan masalah mereka (rakyat),” katanya.
Mengulas lanjut Ahli Parlimen Pagoh (Johor) itu berkata antara isu yang diambil pendirian bersama antara parti pembangkang terbabit ialah kos sara hidup yang didakwa paling membebankan rakyat.
Katanya walaupun kadar inflasi rendah, di banyak tempat kos dan harga barang adalah tinggi berbanding sebelum ini dan antara punca peningkatan itu ialah penyasaran subsidi minyak yang memberi kesan kepada kos logistik.
Justeru, katanya rakyat kini menanggung beban oleh pelbagai dasar yang telah dan sedang dilaksana kerajaan.
“Selain itu, isu kedua ialah cukai-cukai dikenakan kerajaan termasuk SST (cukai barangan dan perkhidmatan) yang diperluas kepada hampir 6,000 jenis barangan sejak 1 Julai lalu dan kesannnya ditanggung oleh sektor perniagaan,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg