Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sapura Energy mula disiasat SPRM

Mar 21, 2025 | 11:52 AM
Sapura Energy Bhd disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan penyelewengan dan rasuah membabitkan syarikat penyedia perkhidmatan minyak dan gas Malaysia itu.
Sapura Energy Bhd disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan penyelewengan dan rasuah membabitkan syarikat penyedia perkhidmatan minyak dan gas Malaysia itu. - Foto SAPURA ENERGY BHD

KUALA LUMPURSapura Energy Bhd (SEB) mengesahkan pejabat syarikat itu sudah dikunjungi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 20 Mac, untuk siasatan berkaitan dakwaan penyelewengan melibatkan syarikat berkenaan.

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, SEB berkata beberapa pegawai SPRM berkunjung ke pejabat SEB di Menara PNB, Kuala Lumpur, dan syarikat memberi kerjasama penuh kepada suruhanjaya itu.

Syarikat penyedia perkhidmatan minyak dan gas Malaysia itu akan menyediakan maklumat diperlukan bagi membantu siasatan SPRM.

“Sebagai entiti senaraian awam bertanggungjawab, kami kekal komited menegakkan standard kukuh tadbir urus korporat, ketelusan, dan integriti dalam semua aktiviti kami,” katanya dalam kenyataan, lapor Free Malaysia Today.

Syarikat tersebut memberi jaminan kepada semua pemegang taruh operasi perniagaan berjalan seperti biasa.

“Menyedari kepentingan pemegang taruh sentiasa dimaklumkan, kami akan menyediakan perkembangan semasa mengikut kesesuaian sekiranya terdapat sebarang perkembangan penting,” kata syarikat itu.

Dilaporkan pada 14 Mac lalu, SPRM membuka dua kertas siasatan atas dakwaan rasuah dan penyelewengan dana melibatkan SEB.

Sumber SPRM berkata siasatan berdasarkan penyiasatan awal yang dibuka pada penghujung 2023, yang turut membabitkan tuntutan dibuat berkaitan syarikat itu.

“Dua kertas siasatan ini menumpukan kepada aktiviti pengubahan wang dan penyelewengan berkait tuntutan dibuat pada 2018, ketika syarikat itu dikenali sebagai Sapura Kencana Petroleum Berhad.

“Siasatan juga akan menumpukan isu berkait kelemahan tadbir urus dan pengurusan,” kata SPRM.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata kertas siasatan dibuka mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Terdahulu Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 13 Mac dilaporkan berkata kerajaan Malaysia memberi suntikan pelaburan RM1.1 bilion ($330 juta) kepada SEB, dan ia bukan berbentuk dana hangus, sebaliknya pinjaman yang perlu dibayar semula syarikat itu.

Beliau menjelaskan suntikan pelaburan itu dijadikan sebagai modal pinjaman supaya pengurusan syarikat apabila mendapat keuntungan, akan memulangkan semula dana berkenaan.

Katanya, suntikan dana terbabit yang bertujuan menyelamatkan syarikat besar dan pekerja bukan diberi begitu saja, sebaliknya kerajaan memulakan langkah dengan menjalankan audit forensik untuk mengenal pasti masalah sebenar dihadapi syarikat tersebut.

Pada Disember 2024, media Malaysia melaporkan SEB mencatatkan kerugian bersih RM293.06 juta bagi suku ketiga berakhir 31 Oktober 2024, berbanding keuntungan bersih RM30.88 juta yang dicatatkan pada suku ketiga 2023, disebabkan kerugian pertukaran asing yang tidak memberangsangkan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg