Malaysia, Singapura dan negara anggota Asean lain perlu mengenakan tekanan diplomatik terhadap Indonesia, selain boikot dan sekatan kewangan terhadap syarikat yang menjadi punca masalah jerebu rentas sempadan yang berpanjangan.

Gesaan itu disuarakan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang melihat tindakan tegas dan bersepadu perlu disegerakan secara bersama oleh Malaysia, Singapura dan Asean, bagi memastikan isu jerebu rentas sempadan yang berlarutan selama bertahun-tahun tidak terus berulang tanpa penyelesaian berkesan.

Beliau berkata kerajaan tidak boleh bergantung semata-mata pada pertemuan dengan pemimpin Indonesia, sebaliknya perlu mengemukakan nota diplomatik yang jelas dengan sokongan negara Asean lain yang turut terjejas, terutama Singapura.

“Isu jerebu ini bukan lagi isu kecil. Kali Ini adalah antara yang paling teruk kerana fenomena El Nino.

“Bukan setakat Malaysia membantah, tetapi perkara ini (nota diplomatik) perlu dipersetujui bersama oleh Asean, khususnya negara jiran yang turut terkesan seperti Singapura,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, pada 12 Oktober.

Syed Saddiq berkata tekanan diplomatik serantau perlu disusuli sekatan kewangan yang menyasarkan kepentingan syarikat yang dikenal pasti terbabit dalam pembakaran hutan dan pembukaan tanah melalui kaedah tebang dan bakar (slash and burn).

Mantan menteri itu berkata Malaysia dan Singapura mempunyai pengaruh melalui institusi kewangan serta pasaran modal yang boleh digunakan untuk meningkatkan tekanan terhadap syarikat di Indonesia yang dikaitkan dengan amalan pembakaran terbuka.

Beliau menamakan Maybank dan CIMB dari Malaysia serta DBS dari Singapura sebagai antara institusi kewangan yang menurutnya mempunyai hubungan pinjaman dengan syarikat di Indonesia.

Syed Saddiq mencadangkan supaya syarikat yang terbukti terlibat atau mempunyai kaitan dengan pembakaran terbuka dan punca jerebu, perlu disekat daripada mendapat akses kepada pasaran modal serta pembiayaan daripada institusi kewangan di Malaysia dan Singapura.

“Kita perlu mengenakan tekanan terhadap kewangan mereka supaya mereka merasai kesannya. Jika tidak, perkara ini akan terus berulang,” katanya.

Beliau turut mencadangkan Malaysia mempertimbangkan undang-undang seumpama Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan Singapura bagi membolehkan tindakan diambil terhadap syarikat yang bertanggungjawab menyebabkan pencemaran rentas sempadan.

Katanya tindakan sama perlu dikenakan terhadap syarikat Malaysia sekiranya didapati terbabit, tanpa mengira negara asal atau kepentingan perniagaan mereka.

“Kita tidak boleh hipokrit. Jika ada syarikat negara kita sendiri yang terlibat, tindakan juga perlu diambil,” katanya.

Selain tekanan diplomatik dan kewangan, Syed Saddiq berkata kerajaan juga perlu menggembleng sokongan orang ramai melalui tindakan pengguna, termasuk menggunakan kuasa beli mereka untuk memberi tekanan kepada syarikat yang dikaitkan sebagai punca jerebu.

Beliau berkata ia gerakan sama seperti pernah dilakukan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menerusi kempen ‘Beli Barangan British Akhir’ pada awal tahun 1980-an.

“Kita ada kuasa beli yang akhirnya syarikat-syarikat Indonesia akan takut.

“Walaupun jumlah penduduk Malaysia hanya lebih 30 juta berbanding Indonesia yang mempunyai sekitar 300 juta penduduk, kuasa beli rakyat Malaysia per kapita antara yang tertinggi di rantau ini,” katanya.

Syed Saddiq berkata isu jerebu bukan sekadar menjejaskan sektor pelancongan atau mutu udara, malah memberi kesan terhadap pendidikan dan kesihatan rakyat, khususnya kanak-kanak.

Beliau berkata pembakaran terbuka berskala besar di negara jiran boleh menjejaskan usaha Malaysia mendidik rakyat supaya lebih prihatin terhadap alam sekitar, apabila kesan pencemaran turut dirasai meskipun mereka mematuhi amalan mesra alam.

Katanya penutupan sekolah akibat jerebu juga berisiko menjejaskan pembelajaran, terutama bagi murid daripada keluarga berpendapatan rendah yang mungkin tidak mempunyai komputer riba, tablet atau capaian internet berkualiti untuk mengikuti pembelajaran dalam talian.

Keadaan itu, menurutnya, boleh memperluas jurang pendidikan antara murid yang mempunyai akses kepada kemudahan digital dengan mereka yang kurang berkemampuan.