JOHOR BAHRU: Sekolah di kawasan atau daerah terjejas jerebu di Johor akan ditutup sekiranya bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) melebihi 200.

Semua kegiatan di luar bilik darjah termasuk sukan, kegiatan kokurikulum dan program keramaian, pula perlu ditangguhkan apabila IPU melepasi paras 100.

Untuk makluman, bacaan IPU sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat dan IPU melebihi 300 adalah berbahaya.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Dr Muhammad Naqib Md Ghazali, berkata pihak sekolah diminta memantau bacaan IPU di kawasan masing-masing dan mengambil tindakan berdasarkan keadaan semasa serta panduan pihak berkuasa.

“Kerajaan Johor mengambil serius keadaan jerebu yang sedang berlaku dan berpotensi menjejas kesihatan, kebajikan serta keselamatan murid dan seluruh warga sekolah.

“Sekiranya bacaan IPU melebihi 100, semua kegiatan luar bilik darjah, termasuk sukan, kokurikulum serta program atau keramaian di luar hendaklah ditangguhkan bagi mengurangkan pendedahan kepada udara tercemar,” katanya dalam kenyataan pada 26 Ogos.

Menurut Dr Muhammad Naqib, sekolah di kawasan terjejas perlu ditutup mengikut ketetapan dan panduan semasa jika bacaan IPU melebihi 200.

Pihak sekolah juga perlu memastikan murid tidak terdedah kepada kegiatan luar apabila keadaan tidak mengizinkan.

Warga sekolah disaran memakai pelitup muka yang sesuai, minum air secukupnya dan mengambil langkah penjagaan kesihatan sepanjang tempoh jerebu.

Murid yang menunjukkan tanda tidak sihat perlu segera dirujuk kepada ibu bapa atau penjaga bagi mendapatkan tindakan lanjut.

“Ibu bapa dan penjaga yang bimbang terhadap keadaan kesihatan anak boleh mempertimbangkan untuk tidak menghantar mereka ke sekolah dengan memaklumkan perkara itu kepada pihak sekolah,” katanya.

Bagaimanapun, pentaksiran dan peperiksaan awam akan diteruskan berdasarkan arahan, ketetapan serta panduan pihak berkuasa pendidikan.

Dr Muhammad Naqib turut meminta pentadbir sekolah, guru, ibu bapa, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta murid bekerjasama memastikan keselamatan dan kebajikan warga sekolah terpelihara.

“Segala kegiatan sukan, kokurikulum dan program luar hendaklah disesuaikan dengan keadaan cuaca serta bacaan IPU semasa.

“Kegiatan itu tidak boleh diteruskan sekiranya keadaan didapati tidak selamat atau boleh menjejaskan kesihatan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Encik Ling Tian Soon, berkata pemantauan serta penguatkuasaan akan dipertingkatkan di kawasan yang berisiko berlaku pembakaran terbuka.

Lokasi yang diberikan perhatian termasuk tapak pelupusan sampah, kawasan pertanian, tanah gambut dan tapak pembinaan.

“Cuaca panas dan kering yang sedang dialami memerlukan perhatian serta kesiapsiagaan semua pihak, khususnya dalam menghadapi risiko kemerosotan mutu udara, jerebu dan peningkatan kes pembakaran terbuka.

“Keadaan cuaca serantau juga boleh memberi kesan terhadap mutu udara di Johor, termasuk kemungkinan berlakunya jerebu rentas sempadan,” katanya.

Encik Ling berkata semua agensi berkaitan diarah meningkatkan kesiapsiagaan, pemantauan dan penguatkuasaan supaya risiko terhadap kesihatan awam serta alam sekitar dapat ditangani segera.

Orang ramai diingatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka dan segera melaporkan kejadian sedemikian kepada pihak berkuasa.

Kanak-kanak, warga emas dan golongan berisiko perlu mengurangkan atau menangguhkan kegiatan luar apabila IPU melebihi 100.