PORT DICKSON: Selepas kecoh dengan kemunculan buaya di Sungai Klang, berhampiran pusat beli belah mega di Kuala Lumpur baru-baru ini, orang ramai sekali lagi dikejutkan dengan penemuan reptilia itu di pantai peranginan popular di Negeri Sembilan – Port Dickson.
Menerusi video yang tular di aplikasi TikTok, ada dakwaan bahawa buaya itu ditemui di Pantai Purnama dan Pantai Teluk Kemang, yang juga tempat tumpuan ramai di Port Dickson.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan, Encik Faizal Izham Pikri, berkata pihaknya sedang mengenal pasti tempat sebenar penemuan buaya terbabit untuk tindakan lanjut.
“Apa yang membimbangkan buaya itu timbul di pantai Port Dickson ketika orang ramai sedang mandi dan situasi ini menimbulkan kebimbangan pengunjung mengenai keselamatan mereka.
“Ada yang berpendapat kehadiran buaya di pantai Port Dickson bukanlah sesuatu yang luar biasa. Namun kami tetap bimbang dan akan bertindak, malah sudah pun memasang perangkap di Pantai Cermin,” katanya, lapor Harian Metro.
Pada 20 Februari lalu, warga Kuala Lumpur gempar dengan penemuan seekor buaya di Sungai Klang, berhampiran pusat beli-belah The Gardens Midvalley dan KL Eco City, manakala sebelum itu pada 25 Januari, reptilia sama turut muncul di Sungai Klang berhampiran Masjid Jamek yang menjadi tumpuan ramai.
Sejak kejadian itu tular, Jabatan Perhilitan telah memasang perangkap di Sungai Klang dekat pusat beli belah berkenaan, namun sehingga hari ini buaya berkenaan belum berjaya ditangkap.
Dalam perkembangan lain, seorang lelaki hilang disyaki disambar buaya di sungai dekat Kampung Sungai Batang Baru, Batu 10, Sandakan, Sabah, pada 27 Februari.
Lelaki berusia lingkungan 50-an tahun itu dikatakan sedang menabur baja ke dalam sungai bagi memulakan aktiviti menjala ikan sebelum dikatakan disambar reptilia berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Encik Severinus@Mohd Nidzam Sainkui, berkata pihaknya yang menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 5.40 petang 27 Februari sedang menjalankan usaha mencari dan menyelamat mangsa.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg