Topik diikuti
Pergi ke BHkuSemakan VEP kenderaan M’sia menerusi Kad Ketibaan S’pura elak perjalanan sia-sia
Pekerja M’sia sambut baik langkah baru, namun berharap urusan permohonan permit dipercepat
Semakan VEP kenderaan M’sia menerusi Kad Ketibaan S’pura elak perjalanan sia-sia
Langkah Singapura menyemak kesahihan Permit Masuk Kenderaan (VEP) sebelum penyerahan Kad Ketibaan Singapura (SGAC) disifatkan mampu membantu rakyat Malaysia mengesan masalah permit lebih awal dan mengelakkan mereka diarah berpatah balik di pusat pemeriksaan darat.
Pekerja agensi pelancongan di Johor Bahru, Encik Mohd Fairus Abd Aziz, 35 tahun, berkata pengesahan awal itu membolehkan pemandu serta penumpang memastikan kenderaan yang digunakan memenuhi syarat sebelum memulakan perjalanan.
“Langkah ini bagus kerana kita boleh tahu lebih awal sekiranya dokumen atau permit kenderaan belum lengkap untuk memasuki Singapura.
“Jadi, kita tidak perlu menunggu sehingga tiba di pusat pemeriksaan sebelum diarahkan berpatah balik. Keadaan itu bukan sahaja menyusahkan, malah menyebabkan kita kehilangan masa,” katanya ketika dihubungi Berita Harian (BH).
Mulai 6 Oktober, pelawat yang mahu memasuki Singapura menggunakan kereta berdaftar di luar negara hanya boleh menyerahkan SGAC sekiranya kenderaan berkenaan mempunyai VEP yang sah.
Sistem SGAC akan mengesahkan status VEP kenderaan terlebih dahulu dan penyerahan kad ketibaan tidak dapat diselesaikan sekiranya permit itu tidak sah.
Bagaimanapun, Encik Mohd Fairus berharap tempoh memproses permohonan atau pengemaskinian VEP dapat dipercepatkan bagi memudahkan mereka yang perlu membuat perjalanan dalam tempoh singkat.
Menurutnya, proses berkenaan boleh mengambil masa antara seminggu dengan dua minggu, bergantung pada keadaan permohonan.
“Ada kalanya seseorang perlu memasuki Singapura pada saat akhir, tetapi baru mahu memohon atau mengemas kini VEP. Keadaan itu agak sukar jika prosesnya mengambil masa yang panjang.
“Kalau pihak Singapura dapat menetapkan tempoh pemprosesan yang lebih singkat, ia akan lebih memudahkan pengguna,” katanya.
Seorang pekerja sektor perkilangan yang hanya mahu dikenali sebagai Encik Khairulanuar, 46 tahun, pula berkata proses mengemas kini maklumat kenderaan kadangkala menimbulkan kesukaran kepada pengguna.
Beliau berkata percubaannya untuk mengemas kini cukai jalan dan insurans selepas tamat tempoh beberapa kali ditolak oleh sistem sebelum beliau diminta menghubungi Penguasa Pengangkutan Darat (LTA).
“Sekarang kita perlu membuka akaun bagi setiap kenderaan yang mahu masuk ke Singapura. Apabila cukai jalan raya saya tamat tempoh, saya cuba mengemas kini cukai itu dan insurans baru, tetapi permohonan beberapa kali ditolak.
“Syarat terbaru turut meminta gambar bahagian hadapan dan belakang kenderaan. Gambar itu juga kadangkala ditolak, mungkin kerana tidak memenuhi spesifikasi yang ditetapkan,” katanya.
Menurutnya, terdapat kedai telefon di Johor Bahru yang menawarkan khidmat membantu pengguna membuat akaun dan menguruskan Autopass, menunjukkan bahawa sebahagian pengguna masih memerlukan bantuan untuk memahami proses pendaftaran berkenaan.
Terdahulu, Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) Singapura berkata pengesahan awal VEP menerusi sistem SGAC akan memberi peringatan kepada pelawat, termasuk penumpang, sekiranya kenderaan yang bakal dinaiki tidak mempunyai permit sah.
Langkah itu memberi peluang kepada pemandu menyelesaikan sebarang masalah sebelum melakukan perjalanan melalui Pusat Pemeriksaan Woodlands atau Tuas, sekali gus mengelakkan kesulitan apabila tiba di sempadan.
Syarat berkenaan akan diperluaskan secara berperingkat kepada jenis kenderaan lain yang memasuki Singapura melalui pusat pemeriksaan darat.
SGAC menerusi aplikasi MyICA pula disediakan mulai 30 September sebagai pengisytiharan pra-ketibaan yang perlu diserahkan sebelum memasuki Singapura.