Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trafik dijangka sesak di Woodlands, Tuas semasa cuti sekolah

Nov 17, 2025 | 5:31 PM
trafik, koswe, woodlands, tuas, sesak, cuti sekolah
Mereka yang memandu kereta atau motosikal ke pusat pemeriksaan Woodlands atau Tuas digalakkan menggunakan kod QR, dan bukan pasport, untuk proses pemeriksaan imigresen yang lebih cepat dan mudah. - Foto ST

Mereka yang menuju ke Malaysia dijangka menghadapi kesesakan lalu lintas di pusat pemeriksaan Woodlands dan Tuas sepanjang cuti sekolah 2025 yang bakal tiba, menurut Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA).

Menurut ICA, mulai 21 November hingga 1 Januari 2026, orang awam yang menggunakan lintasan darat perlu bersedia bagi masa menunggu yang lebih lama.

Sepanjang cuti panjang Deepavali dari 17 hingga 20 Oktober, orang awam yang menaiki kereta terpaksa menunggu sehingga tiga jam untuk melepasi pemeriksaan imigresen akibat kesesakan yang berpunca daripada aliran trafik dari Malaysia.

Hampir dua juta orang melintasi kedua-dua pusat pemeriksaan dalam tempoh tersebut.

Menurut laporan The Straits Times (ST), pada 17 Oktober sahaja terdapat lebih 550,000 orang yang melintasi pusat pemeriksaan darat itu.

Dengan cuti sekolah yang bakal tiba, pemeriksaan akan dipertingkatkan terhadap penyeludupan rokok elektronik (e-rokok) atau vape, kata ICA dan ini akan menyebabkan masa menunggu menjadi lebih lama.

ICA menasihatkan orang awam supaya menyemak keadaan trafik di pusat pemeriksaan darat terlebih dahulu, sambil mencadangkan agar mereka boleh mempertimbangkan perkhidmatan bas rentas sempadan bagi mengelakkan kesesakan.

Mereka yang menaiki kereta atau motosikal juga digalakkan menggunakan kod QR dan bukan pasport, untuk proses pelepasan imigresen yang lebih cepat dan mudah.

Namun, mereka masih perlu membawa pasport kerana dokumen tersebut masih diperlukan di luar negara.

Pemandu kenderaan berdaftar asing mesti memastikan Permit Masuk Kenderaan (VEP) mereka masih sah, tambah ICA.

Mereka yang tidak mempunyai kad Autopass yang sah, e-mel kelulusan VEP daripada Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) atau insurans yang sah akan diarahkan berpatah balik.

ICA berkata ia mengharapkan kerjasama pengembara dalam mematuhi arahan pegawai, mengikuti peraturan trafik dan menjaga disiplin lorong.

“ICA tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap orang awam yang tidak mematuhi arahan pegawai dan melakukan kesalahan di pusat pemeriksaan,” tambahnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg