Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Semangat korban eratkan ukhuwah masyarakat Pasir Gudang

Jun 8, 2025 | 5:30 AM
pasir gudang, lembu, aidiladha, hari raya haji
Rata-rata penternak lembu berpendapat permintaan terhadap lembu dan kambing untuk tujuan korban pada 2025 meningkat berbanding 2024. - Foto BM oleh REMAR NORDIN

Kehadiran Hari Raya Aidiladha tidak hanya disambut dengan takbir dan ibadah, malah ia menjadi detik penuh bermakna yang mengeratkan ukhuwah dan rasa prihatin sesama masyarakat, khususnya di kawasan Pasir Gudang, Johor.

Bagi Hari Raya Aidiladha 2025, sebanyak 35 ekor lembu akan dikorbankan oleh Koperasi Melayu Pasir Gudang bagi membantu golongan kurang berkemampuan menyambut Aidiladha dengan lebih sempurna dan ceria.

Bagi pengerusi koperasi itu, Datuk Mohd Amin Ahmad, program korban itu sudah menjadi acara wajib dalam kalendar tahunan koperasi tersebut, dan beliau menyifatkan acara itu sebagai amanah serta tanggungjawab sosial kepada penduduk Pasir Gudang.

“Ini adalah salah satu cara kita membalas jasa dan memberi balik kepada penduduk Pasir Gudang, terutama dalam membantu mereka yang kurang berkemampuan agar dapat turut serta menyambut hari mulia ini,” katanya kepada Berita Minggu (BM).

Pengerusi Koperasi Melayu Pasir Gudang, Datuk Mohd Amin Ahmad, menyifatkan program korban sebagai tanggungjawab sosial utama kepada masyarakat setempat.
Pengerusi Koperasi Melayu Pasir Gudang, Datuk Mohd Amin Ahmad, menyifatkan program korban sebagai tanggungjawab sosial utama kepada masyarakat setempat. - Foto BM oleh REMAR NORDIN

Datuk Mohd Amin menambah, setiap tahun pihak koperasi akan mengadakan program korban perdana dengan sekurang-kurangnya 40 ekor lembu dikorbankan.

Tahun 2025 jumlahnya sedikit berkurangan namun ia langsung tidak melunturkan semangat dan iltizam beliau serta anggota koperasi untuk meneruskan tradisi itu.

“Setiap tahun kita akan mengenal pasti sekitar 500 golongan asnaf untuk menerima bantuan daripada program korban ini. Lebihan daging juga akan diagihkan kepada penduduk setempat yang memerlukan,” ujarnya.

Beliau berkata program tersebut akan diadakan di Dataran Taman Mawar yang terletak berhampiran dengan kawasan perumahan penduduk.

Lokasi strategik itu dipilih khusus supaya proses pengagihan daging korban berjalan dengan lebih lancar dan berkesan.

“Lembu-lembu korban pada tahun ini (2025) diperoleh daripada pembekal sekitar Kota Tinggi, Kulai dan Johor Bahru.

“Selain itu, koperasi juga mempunyai ternakan sendiri tetapi masih dalam skala kecil. Ia merupakan sebahagian perancangan jangka panjang koperasi untuk memperluaskan lagi sumber pendapatan,” kongsinya.

Dalam pada itu, Naib Ketua Umno Bahagian Pasir Gudang, Encik Razani Abdul Rauf, berkata beliau berharap agar program itu dapat merapatkan lagi hubungan silaturahim antara penduduk di kawasan Pasir Gudang.

“Ini merupakan program tahunan kita dan kali kelima ia dianjurkan bersama koperasi. Pada 2024, kita telah menjalankan program ini bersama masjid dan surau di Pasir Gudang.

“Namun, tahun ini (2025) kita melakukan sedikit kelainan dengan menumpukan bantuan khusus kepada golongan asnaf,” katanya.

Encik Razani juga memberitahu bahawa seramai 700 sukarelawan telah dikenal pasti bagi membantu proses melapah dan mengagihkan daging korban tersebut kepada penduduk Pasir Gudang.

Sementara itu, pemilik ladang ternakan lembu Nahdahtul Salam, Encik Jumat Jaffar, 61 tahun, berkata permintaan terhadap lembu dan kambing untuk tujuan korban pada 2025 amat memberangsangkan dan jauh lebih tinggi berbanding tahun-tahun sebelumnya.

“Kami mempunyai 60 ekor lembu di ladang, dan daripada jumlah tersebut, 50 ekor sudah ditempah awal bagi tujuan korban. Begitu juga kambing, daripada 40 ekor yang ada, sebanyak 30 ekor sudah ditempah pelanggan,” katanya kepada BM.

Encik Jumat berkata setiap ekor lembu di ladangnya dijual pada harga antara RM4,000 ($1,214) hingga RM6,000 bergantung kepada saiz, manakala kambing pula dijual sekitar RM1,000 hingga RM1,500 seekor mengikut saiznya.

Pemilik Ladang Nahdahtul Salam Encik Jumat Jaffar menunjukkan ternakannya yang mendapat permintaan tinggi sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.
Pemilik Ladang Nahdahtul Salam Encik Jumat Jaffar menunjukkan ternakannya yang mendapat permintaan tinggi sempena sambutan Hari Raya Aidiladha. - Foto BM oleh REMAR NORDIN

“Ladang ini saya mula usahakan pada tahun 2009. Ketika itu saya cuma memiliki enam ekor lembu tanpa sebarang kandang sempurna.

“Kini, selepas 16 tahun berlalu, saya sudah mempunyai 60 ekor lembu dan lapan ekor kerbau. Perubahan besar berlaku dari segi pemakanan ternakan kami yang kini menggunakan sistem feedlot dengan jerami padi dari Perlis, berbanding dulu lembu hanya bebas meragut rumput,” katanya.

Pada masa sama, Pengarah Urusan Arrayyan Farm, Encik Muhamad Hafizul Asyraf Jaafar, 26 tahun, berkata sambutan Hari Raya Aidiladha kali ini menyaksikan permintaan yang sangat tinggi buat lembu dan kambing di ladangnya sehingga pihaknya perlu membuat persediaan seawal Ramadan lagi.

Pengarah Urusan Arrayyan Farm, Encik Muhamad Hafizul Asyraf Jaafar, 26 tahun.
Pengarah Urusan Arrayyan Farm, Encik Muhamad Hafizul Asyraf Jaafar, 26 tahun. - Foto BM oleh REMAR NORDIN

“Harga lembu yang kami tawarkan adalah antara RM4,000 hingga RM7,000 seekor bergantung kepada saiznya, dengan berat minimum sekitar 200 kilogram. Untuk kambing pula, kami jual pada harga sekitar RM1,200 seekor mengikut saiz,” kongsinya kepada BM.

Menurut Encik Muhamad Hafizul, ladangnya juga menyediakan perkhidmatan penghantaran terus kepada pelanggan di sekitar Johor Bahru, termasuk penghantaran haiwan korban hidup terus ke masjid dan surau.

“Kami perlu masa kira-kira empat bulan untuk memastikan ternakan kami cukup makan sebelum dijual. Kebanyakan pelanggan kami adalah dari Johor, Singapura dan Selangor,” katanya.

Menurut beliau, pihaknya mempunyai kira-kira 20 peratus pelanggan dari Singapura yang datang untuk membeli lembu korban.

“Lembu yang dibeli pelanggan ini kemudiannya akan disembelih di bilik penyembelihan kami yang berdaftar dengan Jabatan Veterinar, dan biasanya pelanggan dari Singapura itu akan mengagihkan daging korban sendiri di sekitar kawasan Johor Bahru.

“Kami mempunyai 15 pekerja yang mampu membantu proses penyembelihan dan pembungkusan kira-kira 40 ekor lembu dalam tempoh sehari,” tambahnya.

Pengarah Urusan Arrayyan Farm Encik Muhamad Hafizul Asyraf Jaafar memastikan ternakan ladangnya mendapat penjagaan optimum sebelum dijual kepada pelanggan.
Pengarah Urusan Arrayyan Farm Encik Muhamad Hafizul Asyraf Jaafar memastikan ternakan ladangnya mendapat penjagaan optimum sebelum dijual kepada pelanggan. - Foto BM oleh REMAR NORDIN

Pengarah Urusan Arrayyan Farm, Cik Imelda Nasreen Mispan, 41 tahun, berkata lembu di ladangnya diberi makan empat kali sehari, dan kebanyakan lembu berasal dari baka Brahman Australia, Brahman Kun, Kedah-Kelantan Cross dan Charolais.

“Kami juga ada lembu jenis ‘sado’ yang dijual pada harga bermula RM8,000 seekor. Semua produk kami dipasarkan secara aktif menerusi laman sosial seperti Facebook, TikTok dan Instagram,” kata Cik Imelda.

Pengarah Urusan Arrayyan Farm Cik Imelda Nasreen Mispan aktif memasarkan lembu-lembu pelbagai baka termasuk jenis ‘sado’ menerusi platform media sosial seperti Facebook, TikTok dan Instagram.
Pengarah Urusan Arrayyan Farm Cik Imelda Nasreen Mispan aktif memasarkan lembu-lembu pelbagai baka termasuk jenis ‘sado’ menerusi platform media sosial seperti Facebook, TikTok dan Instagram. - Foto BM oleh REMAR NORDIN
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg