KOTA BHARU (Kelantan): Permintaan tinggi terhadap lembu ‘sado’ (besar) sebagai haiwan korban membuka rezeki buat Encik Armizan Harun, 46 tahun, yang memperoleh keuntungan hampir RM100,000 ($30,435) hasil jualan ternakannya sempena Aidiladha 2025.
Encik Armizan yang sudah lebih 30 tahun berkecimpung dalam bidang penternakan lembu mendedahkan, lima lembu ‘sado’ (lembu bersaiz besar) miliknya terjual menjelang perayaan 2025 ini.
Beliau tidak menang tangan menerima tempahan lembu ‘sado’ untuk ibadah korban, namun tidak dapat memenuhi permintaan susulan bekalan lembu yang terhad, selain hanya tinggal ternakan belum cukup umur untuk dijual.
“Antara lembu ‘sado’ yang dijual adalah daripada baka Charolies, Limousine, Belgian Blue dan Blonde.
“Sebenarnya, ramai yang memilih lembu ‘sado’ atau lembu hibrid untuk tujuan korban kerana isinya yang banyak selain daging yang lebih lembut berbanding lembu kampung biasa.
“Selain itu, saya akan memastikan lembu dalam keadaan baik, bebas daripada sebarang penyakit, selain dijaga serta diberi rawatan dengan mendapat suntikan daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV),” katanya ketika ditemui di ladang ternakan lembu miliknya di Kampung Pasir Hor, Kota Bharu, Kelantan, lapor Harian Metro.
Menurut Encik Armizan, setakat ini, beliau menjual lebih 300 lembu kampung bernilai RM3,500 sehingga RM4,800 seekor, sempena Aidiladha, kepada pelanggan dari seluruh Malaysia.
Sejak beberapa tahun lalu, Encik Armizan mula memelihara lembu ‘sado’ sekadar suka-suka, selain untuk menyertai pertandingan.
Namun, beliau tidak menyangka spesies itu kini mendapat permintaan tinggi termasuk bagi tujuan ibadah korban.
“Malah, saya mempunyai seekor lembu sado baka Blonde yang diberi nama ‘Bobi’ berusia tiga tahun.
“Sudah banyak kali pelanggan menawarkan harga tinggi untuk membelinya, namun saya tolak kerana ia adalah lembu kesayangan yang sering memenangi Pertandingan Lembu Sado.
“Alhamdulillah, anak sulung saya berusia 23 tahun turut mengikut jejak langkah saya dengan bersama-sama mengusahakan ternakan lembu selain memiliki sijil permanian beradas bagi membolehkan kami membiakkan sendiri ternakan, terutama baka lembu ‘sado’,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg