Topik diikuti
Pergi ke BHkuSembelih ayam tidak patuh syarak di Selangor cetus desakan wajibkan sijil halal
Tindakan terhadap premis yang tidak miliki sijil terhad selagi pensijilan bersifat sukarela
Sembelih ayam tidak patuh syarak di Selangor cetus desakan wajibkan sijil halal
Ketiadaan kewajipan mendapatkan pensijilan halal bagi pusat penyembelihan haiwan di Malaysia, dilihat membuka ruang kepada kelompongan serius dalam pemantauan dan penguatkuasaan industri berkenaan, kata pakar industri halal di Malaysia.
Ia sekali gus menimbulkan persoalan mengenai jaminan pematuhan syariah dalam rantaian bekalan makanan khususnya untuk pengguna Islam di negara itu.
Isu pensijilan halal kembali menjadi perdebatan ramai selepas serbuan pihak berkuasa di sebuah kilang sembelihan dan pemprosesan ayam di Puchong, Selangor, pada 30 Oktober lalu.
Langkah itu membawa kepada pendedahan bahawa lebih 6.5 tan ayam disyaki disembelih dengan cara yang tidak mematuhi syarak dan diragui status halalnya.
Lebih mengejutkan apabila ayam berkenaan dipercayai mati akibat renjatan elektrik selepas direndam dalam air berarus elektrik, dan disyaki sudah menjadi ‘bangkai’ sebelum proses penyembelihan dilakukan.
Kadar voltan elektrik yang digunakan dipercayai terlalu tinggi, difahamkan antara 60 dengan 130 voltan, melebihi tahap yang dibenarkan iaitu maksimum 10 voltan, sehingga menyebabkan ayam mati serta-merta sebelum disembelih.
Timbalan Pengarah (Gerakan/Operasi) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Muhammad Abdul Halim, dilaporkan berkata semua 12 pekerja kilang berkenaan adalah pendatang asing tanpa izin (Pati) yang tidak memiliki sebarang kelayakan dan sijil perakuan bagi menyembelih haiwan.
Syarikat itu dipercayai sudah beroperasi sejak lebih 20 tahun lalu, dan mengeluarkan lebih 40,000 ayam sehari untuk dibekalkan ke kedai makan Muslim, pasar raya dan premis runcit di sekitar Selangor serta Putrajaya.
Di samping itu, ia dikatakan tiada sebarang rekod pernah dikenakan tindakan penguatkuasaan, melainkan beberapa kali diberi amaran oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Pendedahan itu menyentuh sensitiviti serta mencetuskan kemarahan umat Islam, yang mempersoalkan keberkesanan peranan pihak berkuasa agama dalam memastikan integriti dan pematuhan halal dalam rantaian bekalan makanan terutama untuk penduduk Muslim Malaysia.
“Darah mendidih tengok berita ini! Sungguh terkutuk dan memalukan!,” tulis pengguna Threads, ‘peann999’.
Seorang lagi pengguna Threads, ‘zeniejasni’ menulis, “Malaysia hab halal dunia tau. Malau la kalau isu macam ini tak boleh selesai”.
Dengan kedudukan Malaysia yang diiktiraf sebagai peneraju dan hab halal sejagat yang mengekalkan kedudukan pertama dalam Indeks Ekonomi Islam Global selama 11 tahun berturut-turut, ramai menyifatkan isu sebegini tidak sepatutnya berlaku.
Malah, Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang dikeluarkan Jakim diiktiraf di peringkat antarabangsa dan menjadi rujukan utama bagi lebih 50 negara serta lebih 100 badan pensijilan luar negara.
Pensyarah Kanan, Institut Penyelidikan dan Latihan Halal Antarabangsa (INHART), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Muhammad Irhammudin Ibrahim, berkata sudah tiba masanya pihak berkuasa mewajibkan pensijilan halal bagi semua rumah sembelihan haiwan halal dan premis perniagaan yang menjual produk berasaskan haiwan sembelihan, bagi menutup kelompongan dalam sistem kawal selia halal negara.
Menurutnya, selagi pensijilan halal kekal bersifat pilihan dan sukarela, pengusaha mempunyai pilihan untuk tidak mendapatkan pengesahan berkenaan, sekali gus mengehadkan bidang kuasa pihak berkuasa agama untuk mengambil tindakan terhadap premis yang tidak memiliki sijil itu.
Beliau berkata keadaan itu memperlihatkan kelemahan dalam kerangka kawal selia sedia ada, khususnya apabila sesebuah premis mempunyai lesen perniagaan yang sah, tetapi tidak melalui proses pengesahan pematuhan halal.
“Selagi tiada kewajipan dari segi pensijilan halal, syarikat tidak takut beroperasi tanpa mematuhi syarat halal, kerana Jakim dan pihak berkuasa agama negeri hanya boleh mengambil tindakan apabila sesebuah syarikat itu memiliki SPHM,” katanya kepada Berita Harian (BH).
Menurut laporan media Malaysia, terdapat 221 premis sembelihan di seluruh negara itu, dan dari jumlah itu hanya empat premis mempunyai SPHM di Kuala Lumpur, yang kedua terendah selepas Perlis.
Menjelaskan lanjut Dr Irhammudin berkata isu berkenaan turut berkait dengan pembahagian bidang kuasa antara pihak berkuasa agama negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jakim, yang mempunyai tanggungjawab berbeza dalam mengawal selia operasi perniagaan.
Katanya Jakim berperanan menyelaras pengeluaran SPHM di peringkat kebangsaan, sementara Jabatan Agama Islam negeri mengendalikan proses audit dan pemeriksaan bagi pemilikan pensijilan halal.
Bagaimanapun, kuasa meluluskan lesen perniagaan dan membenarkan sesebuah premis beroperasi terletak di bawah PBT, menyebabkan sesebuah rumah sembelihan boleh menjalankan operasi secara sah tanpa semestinya memiliki sijil halal.
“Keadaan ini perlu ditangani menerusi pendekatan lebih menyeluruh, termasuk menjadikan pensijilan halal sebagai syarat wajib bagi rumah sembelihan dan perniagaan yang menjual makanan berasaskan haiwan.
“Langkah ini penting kerana pengguna tidak mempunyai keupayaan untuk meneliti sendiri sumber bekalan, kaedah penyembelihan dan keseluruhan proses pengendalian makanan yang dijual kepada mereka,” ujarnya.
Beliau turut mencadangkan PBT memainkan peranan lebih besar dalam usaha berkenaan, termasuk mempertimbangkan pensijilan halal sebagai salah satu syarat pembaharuan lesen perniagaan.
Katanya syarat sedemikian telah diketengahkan Majlis Bandaraya Kota Bharu, di Kelantan, yang mencadangkan pemilikan SPHM sebagai syarat pembaharuan lesen bagi pengusaha premis makanan di bawah pentadbirannya.
Selain tindakan kerajaan dari peringkat atas, Dr Dr Irhammudin menambah, perubahan turut perlu digerakkan dari peringkat masyarakat menerusi kesedaran pengguna Islam untuk mengutamakan produk dan premis yang mempunyai pensijilan halal.
“Pendekatan ini perlu bergerak dalam dua dimensi, iaitu top-down dan bottom-up, iaitu kerajaan perlu mewujudkan dasar yang mewajibkan pensijilan halal, manakala masyarakat pula perlu lebih tegas memilih bekalan makanan daripada pembekal yang mempunyai sijil halal.
“Kes yang berlaku sebagaimana kilang sembelihan ayam yang diragui status halalnya itu, berpunca daripada adanya permintaan apabila ada pihak tidak menitikberatkan keperluan pensijilan halal sebelum menjual dan membeli barangan itu,” katanya.
Beliau juga menyentuh kebiasaan sebahagian pengguna Islam beranggapan makanan yang dijual oleh pengusaha beragama Islam secara automatik memenuhi keperluan halal, sedangkan status itu turut bergantung kepada sumber bahan mentah, pembekal dan proses pengendalian makanan.
Keadaan itu, katanya menyebabkan permintaan terhadap bekalan makanan tanpa pensijilan halal masih wujud, sekali gus memberi ruang kepada pengusaha untuk terus beroperasi tanpa mendapatkan pengesahan berkenaan.
“Ini ditambah pendekatan meluas sesetengah peniaga yang menyalahgunakan istilah seperti ‘Muslim-friendly’ (mesra Muslim)’ dan ‘pork-free’ (bebas daging babi) bagi menarik pelanggan Muslim, tanpa perlu membuktikan pematuhan kepada keseluruhan piawaian halal,” katanya.
Di rantau ini, tambah Dr Irhammudin, hanya Indonesia yang mewajibkan pensijilan halal, sementara Singapura, walaupun pensijilan halalnya juga bersifat sukarela, pengguna Muslim lebih cakna dengan menitikberatkan sumber makanan dan premis yang mempunyai sijil halal.
Seorang lagi karyawan halal dari INHART, Profesor Madya Dr Mohammad Aizat Jamaludin, berkata isu ketidakpatuhan halal di Malaysia bukan perkara baharu, sebaliknya sudah lama berlaku dan memerlukan perhatian lebih serius daripada pihak berkuasa serta pengguna Islam.
Beliau berkata berdasarkan kerangka perundangan sedia ada, tindakan pihak berkuasa lazimnya hanya digerakkan sekiranya terdapat aduan pengguna, selain pemantauan berkala pihak berkuasa.
Justeru masyarakat Islam perlu lebih cakna terhadap isu halal dan berani menyuarakan kebimbangan apabila mengesan sebarang ketidakpatuhan.
Peruntukan undang-undang sedia ada pada asasnya sudah mencukupi untuk dilaksanakan, kata beliau.
Namun, usaha memperkukuh pemantauan dan penguatkuasaan perlu dipertingkatkan, lebih-lebih lagi Malaysia merupakan negara berbilang bangsa dan agama, dengan Muslim sebagai majoriti yang mempunyai keperluan serta sensitiviti berbeza.
“Kesedaran dalam kalangan pengguna, kuasa pengguna dan pendidikan pengguna halal juga perlu diberikan penekanan,” tambahnya.