Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Semua pusat cuci kereta di JB diklasifikasi perniagaan berisiko tinggi

Aug 8, 2025 | 3:28 PM
Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) telah mengambil tindakan terhadap 53 pusat cuci kereta tanpa lesen pada 2024.
Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) telah mengambil tindakan terhadap 53 pusat cuci kereta tanpa lesen pada 2024. - Foto Fail

JOHOR BAHRU: Semua pusat cuci kereta di bandar raya Johor Bahru kini diklasifikasikan sebagai perniagaan berisiko tinggi di bawah peraturan baru Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).

Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Haffiz Ahmad, berkata langkah itu diambil susulan masalah berterusan yang berpunca daripada pengusaha pusat cuci kereta, sekali gus mendorong pihak berkuasa mengklasifikasikan semula aktiviti tersebut dan mengetatkan syarat pelesenan.

“Permohonan lesen baru bagi pusat cuci kereta telah dibuka semula, dengan pelaksanaan segera syarat yang lebih ketat. Perubahan ini melibatkan semua 543 pusat cuci kereta berlesen di bawah MBJB,” katanya pada mesyuarat penuh majlis di Menara MBJB.

Beliau berkata pemohon baru perlu memenuhi peraturan operasi sebelum mengemukakan permohonan lesen perniagaan.

“Pemohon mesti beroperasi di premis yang mempunyai sistem saliran air yang mencukupi serta memastikan operasi mereka tidak merosakkan jalan awam. Lebih penting lagi, langkah sewajarnya perlu diambil bagi mengelakkan pelepasan bahan kimia ke sungai,” tegasnya.

Datuk Mohd Haffiz berkata pengusaha juga perlu bersedia mengemukakan butiran lengkap pekerja mereka, khususnya pekerja warga asing, ketika pemeriksaan dijalankan.

“Pusat cuci kereta akan tertakluk kepada pemeriksaan pegawai MBJB dan agensi berkaitan seperti Jabatan Imigresen sekiranya melibatkan pekerja asing,” katanya lapor The Star.

Beliau turut memberi amaran bahawa pusat cuci kereta yang hanya menawarkan khidmat kepada pelanggan warga asing berisiko dibatalkan lesen perniagaan mereka.

Mengulas mengenai hantaran tular di media sosial yang mendakwa sebuah pusat cuci kereta enggan menerima pelanggan tempatan, beliau berkata MBJB belum menerima sebarang aduan rasmi berhubung perkara itu.

“Bagaimanapun, pihak majlis tidak akan bertolak ansur dengan tingkah laku seperti itu di Johor Bahru dan mana-mana yang didapati berbuat demikian akan dibatalkan lesen.

“Siasatan sedang dijalankan, namun berkemungkinan pusat tersebut mengutamakan pelanggan yang memilih pakej cuci kereta penuh berbanding perkhidmatan asas pada waktu puncak,” jelasnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa sebagai sebahagian daripada penguatkuasaan berterusan, MBJB telah mengambil tindakan terhadap 53 pusat cuci kereta tanpa lesen pada 2024.

“Antara Januari hingga Jun tahun 2025, sebanyak 33 lagi pusat cuci kereta dikesan beroperasi tanpa kelulusan MBJB,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg