Topik diikuti
Pergi ke BHkuSemua taska di Johor beroperasi seperti biasa
Semua taska di Johor beroperasi seperti biasa
JOHOR BAHRU: Semua Taman Asuhan Kanak-Kanak (taska) di seluruh Johor akan terus beroperasi seperti biasa.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat negeri, Cik Hasrunizah Hassan berkata operasi Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dan Pusat Aktiviti Kanak-Kanak pula ditutup lima hari bermula 19 Oktober hingga 23 Oktober ini.
“Keputusan ini dibuat susulan pengumuman lanjutan tempoh penutupan semua sekolah di seluruh Johor akibat keadaan jerebu dan kemerosotan kualiti udara.
“Langkah ini merupakan sebahagian daripada usaha memastikan keselamatan dan kesihatan kanak-kanak terus diberi keutamaan sepanjang tempoh keadaan jerebu semasa,” katanya dalam kenyataan pada 19 Oktober.
Cik Hasrunizah memberitahu, bagi operasi taska, kegiatan luar perlu dihentikan bagi mengurangkan pendedahan kanak-kanak kepada udara yang tidak sihat, lapor MalaysiaGazette.
Namun kata beliau, sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencapai 200 ke atas, operasi taska perlu ditutup sebagai langkah perlindungan.
Katanya, operasi PDK dan Pusat Aktiviti Kanak-Kanak ditutup selama lima hari selaras langkah keselamatan susulan keadaan jerebu yang sedang berlaku.
Sehubungan itu, tambahnya, ibu bapa, penjaga dan pengusaha taska dinasihatkan sentiasa memantau keadaan kesihatan kanak-kanak dan memastikan pengambilan air yang mencukupi.
“Kanak-kanak perlu segera mendapatkan pemeriksaan dan rawatan segera sekiranya mengalami gejala seperti batuk, sakit tekak, sesak nafas atau ketidakselesaan akibat jerebu,” ujarnya.
Kerajaan Johor katanya, bersama-sama agensi berkaitan terus memantau perkembangan bacaan IPU dan keadaan semasa bagi memastikan sebarang perubahan atau arahan lanjut dapat dimaklumkan dari semasa ke semasa berdasarkan perkembangan keadaan serta nasihat pihak berkuasa berkaitan.