JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor akan terus memperkukuh penjagaan dan sokongan kepada kanak-kanak yang memerlukan perlindungan serta golongan kurang upaya.

Ini termasuk memastikan mereka mendapat pendidikan, terapi dan peluang membina kehidupan lebih berdikari.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Cik Hasrunizah Hassan, berkata kebajikan kanak-kanak tidak boleh dilihat sekadar daripada penyediaan tempat tinggal dan keperluan asas.

Sebaliknya, katanya, perhatian turut perlu diberikan kepada keselamatan, kasih sayang, pendidikan dan perkembangan emosi mereka.

“Di sebalik setiap wajah kecil yang saya temui, tersimpan kisah dan perjalanan hidup yang berbeza.

“Namun, mereka mempunyai satu persamaan, iaitu mereka berhak untuk disayangi, dilindungi, dididik dan diberikan peluang membina masa depan yang lebih baik.

“Kebajikan kanak-kanak bukan sekadar soal menyediakan tempat tinggal dan keperluan asas.

“Ia juga tentang memberikan rasa selamat, kasih sayang, pendidikan, perhatian dan keyakinan bahawa mereka mempunyai masa depan yang cerah,” katanya dalam satu kenyataan pada 11 Ogos.

Beliau berkata demikian selepas mengunjungi Rumah Kanak-Kanak Mini Ulu Tiram (RKKMUT).

Lawatan itu turut membolehkan beliau meninjau keadaan penghuni, mendapatkan maklumat mengenai keperluan mereka serta melihat pengurusan dan kebajikan kanak-kanak yang berada di bawah perlindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Cik Hasrunizah berkata kerajaan negeri akan terus memastikan kanak-kanak yang memerlukan perlindungan menerima penjagaan dan sokongan sewajarnya.

“Setiap anak adalah amanah dan setiap amanah wajib kita jaga sebaik-baiknya,” katanya.

Dalam lawatan berasingan, beliau bersama Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Cik Chan San San, serta Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Johor, Encik Rugendran Vellayan, turut mengunjungi Persatuan Cerebral Palsy Johor.

Cik Hasrunizah berkata lawatan itu memberi peluang kepada mereka melihat usaha persatuan berkenaan menyediakan pendidikan, terapi, latihan kemahiran serta sokongan kepada kanak-kanak dan individu yang mengalami palsi serebrum.

Beliau berkata tenaga pengajar, ahli terapi dan petugas persatuan memainkan peranan penting dalam membantu golongan berkenaan mengembangkan potensi masing-masing.

Menurut Cik Hasrunizah, golongan kurang upaya tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai penerima bantuan, sebaliknya sebagai individu yang mempunyai kebolehan dan potensi untuk menyumbang kepada masyarakat.

Sementara itu, Cik Chan berkata beliau turut berpeluang melihat sendiri meja, kerusi dan tilam yang sebelum ini dibantunya mendapatkan sumbangan untuk kegunaan kanak-kanak di pusat berkenaan.

Katanya, meskipun barangan itu kelihatan seperti keperluan biasa, ia memberi kesan besar terhadap keselesaan dan kehidupan harian penghuni.

“Mungkin bagi kita ia hanyalah sebuah meja, kerusi atau tilam, tetapi bagi anak-anak ini, ia merupakan satu bentuk sokongan yang bermakna untuk mereka belajar, berehat dan membesar dalam suasana yang lebih selesa.

“Melihat sumbangan tersebut benar-benar memberi manfaat kepada mereka merupakan satu kepuasan yang tidak ternilai,” katanya.

Cik Chan turut berharap lebih banyak pihak tampil menyumbang tenaga, barangan atau bentuk bantuan lain bagi menyediakan persekitaran yang lebih selesa dan selamat kepada kanak-kanak yang memerlukan.

“Semoga lebih banyak pihak tampil bersama-sama menyumbang tenaga dan sokongan demi menyediakan persekitaran yang lebih selesa, selamat dan penuh kasih sayang untuk anak-anak ini,” katanya.