Topik diikuti
Pergi ke BHkuJohor perkukuh perlindungan wanita dan kanak-kanak terjejas
Rumah Pesona Johor sedia tempat perlindungan sementara kepada mangsa keganasan rumah tangga
Kerajaan Johor akan terus memperkukuh kemudahan perlindungan dan khidmat sokongan kepada wanita serta kanak-kanak yang berdepan keganasan, penderaan atau memerlukan pembelaan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Cik Hasrunizah Hassan, berkata usaha itu penting bagi memastikan golongan terjejas mempunyai tempat perlindungan yang selamat serta menerima bantuan untuk membina semula kehidupan mereka.
“Pusat perlindungan ini telah mula beroperasi pada Mei 2025 dan sehingga kini terdapat 80 individu yang sedang berlindung di sini. Mereka terdiri daripada 35 wanita dan 45 orang kanak-kanak.
“Tempoh perlindungan mereka bergantung kepada tempoh perbicaraan mereka di mahkamah; ada yang boleh mencapai sehingga tiga bulan atau lebih bergantung kepada kes,” katanya ketika dihubungi Berita Harian (BH).
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke Rumah Pesona Johor, iaitu Rumah Perlindungan Sementara Wanita Negeri Johor yang dikendalikan Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT).
“Lawatan ini memberi peluang kepada saya melihat sendiri kemudahan yang disediakan, memahami pengoperasian pusat serta bertukar pandangan mengenai usaha memperkukuh bantuan kepada wanita yang memerlukan perlindungan,” katanya.
Menurut beliau, Rumah Pesona Johor diwujudkan sebagai inisiatif kerajaan negeri untuk menyediakan tempat perlindungan sementara kepada wanita yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga atau penderaan.
Pusat itu turut berfungsi sebagai rumah persinggahan kepada wanita dari luar daerah yang perlu menghadiri urusan mahkamah berkaitan kes kekeluargaan.
Cik Hasrunizah berkata pengurusan setiap kes turut dilaksanakan secara bersepadu bersama agensi berkaitan bagi memastikan mangsa menerima bantuan yang sesuai mengikut keadaan masing-masing.
Selain tempat tinggal sementara, penghuni diberikan khidmat kaunseling serta sokongan emosi dan psikologi untuk membantu mereka mengatasi pengalaman sukar serta membina kembali keyakinan diri.
“Rumah perlindungan ini bukan sekadar menyediakan tempat berteduh, tetapi menjadi ruang selamat yang membolehkan wanita terjejas mendapat sokongan, memulihkan diri dan merancang masa depan dengan lebih yakin.
“Usaha seperti ini perlu terus diperkasakan supaya kebajikan, keselamatan dan kesejahteraan wanita di Johor sentiasa diberikan keutamaan,” katanya.
Dalam lawatan berasingan, Cik Hasrunizah turut meninjau Rumah Perlindungan Kanak-Kanak Johor yang dikendalikan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor.
Lawatan itu bertujuan meneliti pengoperasian, kemudahan serta keperluan institusi berkenaan dalam menyediakan perlindungan kepada kanak-kanak yang memerlukan pembelaan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.
Beliau berkata rumah perlindungan itu bukan sekadar menyediakan tempat tinggal, malah turut memastikan kanak-kanak menerima penjagaan, pendidikan dan sokongan yang diperlukan untuk meneruskan kehidupan dalam suasana lebih selamat.
“Rumah ini menjadi ruang yang selamat untuk kanak-kanak membina masa depan yang lebih baik. Mereka bukan sahaja memerlukan tempat berlindung, tetapi juga perhatian, kasih sayang dan peluang untuk berkembang,” katanya.
Cik Hasrunizah berkata kerajaan negeri akan terus bekerjasama dengan JKM, YPKDT dan agensi berkaitan bagi memastikan mutu perlindungan serta penjagaan kepada wanita dan kanak-kanak terus dipertingkatkan.
Beliau turut menghargai dedikasi petugas JKM dan Rumah Perlindungan Kanak-Kanak Johor yang menjaga kebajikan penghuni dengan penuh tanggungjawab.
“Setiap kanak-kanak berhak dibesarkan dalam persekitaran yang selamat dan sejahtera. Segala usaha untuk melindungi mereka perlu dilaksanakan dengan penuh amanah dan kasih sayang,” katanya.
