Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Serangan Balai Polis Ulu Tiram: Suspek bertindak sendiri, kata Menteri Dalam Negeri M’sia

May 18, 2024 | 4:54 PM
Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah (berbaju putih) memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, di Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor pada 18 Mei. Turut hadir Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (tiga dari kiri). Jenazah dua anggota polis yang maut dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram awal pagi 17 Mei itu kemudiannya dibawa ke kampung halaman masing-masing di Bidor, Perak dan Kuantan, Pahang.
Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah (berbaju putih) memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, di Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor pada 18 Mei. Turut hadir Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (tiga dari kiri). Jenazah dua anggota polis yang maut dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram awal pagi 17 Mei itu kemudiannya dibawa ke kampung halaman masing-masing di Bidor, Perak dan Kuantan, Pahang. - Foto BERNAMA

JOHOR BAHRU: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata suspek di sebalik serangan di Balai Polis Ulu Tiram yang membunuh dua anggota polis, telah bertindak sendirian dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan sebarang kumpulan. 

Dalam satu sidang akhbar, beliau menyatakan bahawa suspek itu, yang bertindak atas kehendak sendiri, adalah seorang rakyat Malaysia berusia 21 tahun.

“Kami percaya dia bertindak sendiri kerana dia memisahkan dirinya daripada orang awam,” kata Datuk Saifuddin di Ibu Pejabat Polis pada 18 Mei. 

“Beliau dikenali sebagai seorang yang pendiam dan jarang berinteraksi dengan penduduk kampung.” 

Mengulas lanjut, Datuk Saifuddin menyatakan bahawa 46 orang dari kampung suspek, Kampung Sungai Tiram, pada awalnya ditahan untuk disoal siasat.

Mereka termasuk ibu bapa suspek dan tiga adik-beradiknya. Beliau berkata tujuh daripada 46 orang itu akan direman.

Mereka disiasat di bawah seksyen 302 Kanun Jenayah atas kesalahan membunuh.   

“Penduduk kampung yang lain telah dibebaskan selepas mereka memberikan kenyataan mereka.” 

Datuk Saifuddin tidak mendedahkan motif serangan itu kerana siasatan sedang dijalankan.

Dalam masa yang sama, beliau turut menggesa orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes itu dan memberi jaminan bahawa keselamatan awam menjadi keutamaan polis. 

Terdahulu, Datuk Saifuddin menghadiri solat jenazah bagi Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said yang terbunuh dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram itu pada 17 Mei. 

Dalam kejadian yang berlaku pada 2.45 pagi, suspek menetak leher dan kepala Ahmad Azza, serta menembak Muhamad Syafiq. 

Suspek itu turut menembak dan mencederakan seorang lagi anggota polis, Koperal Mohd Hasif Roslan, sebelum ditembak mati. 

Mohd Hasif berada di Hospital Sultan Ismail dan dikatakan berada dalam keadaan stabil. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg