Suspek anggota Jemaah Islamiyah (JI) yang menceroboh dan menyerang Balai Polis Ulu Tiram, Johor, hingga dua anggota polis terbunuh, membuat persiapan rapi sebelum melakukan serangan itu pada awal pagi 17 Mei.
Ini berdasarkan kelengkapan pelindung diri yang ditemui pada suspek berusia lingkungan 21 tahun itu, kata Ketua Polis Negara Malaysia, Tan Sri Razarudin Husain.
Beliau berkata polis juga percaya suspek lelaki itu, yang bertopeng dan bersenjata parang, mempunyai agenda lain berikutan tindakannya merampas senjata api anggota polis yang diserang dalam kejadian 2.30 pagi itu.
“Dari siasatan kita dapati suspek yang melakukan serangan ini memang membuat persediaan. Beg yang digunakan sebagai shield (perisai) itu diletakkan zink, kain dan kertas untuk dia bertempur dengan pihak polis.
“Kita lihat bahawa mungkin beliau datang untuk dapatkan senjata api daripada polis untuk agenda tertentu yang kita masih siasat,” katanya, yang datang meninjau tempat kejadian sejurus selepas kejadian itu pada 17 Mei.
Tan Sri Razarudin berkata beliau juga mengarahkan Bahagian Cawangan Khas segera mengesan dan memburu semua anggota JI di Johor, yang dianggarkan 20 orang, untuk disiasat.
Setakat ini, tujuh individu – lima ahli keluarga suspek, termasuk bapanya yang berusia 62 tahun dan disahkan sebagai anggota JI, serta dua pelajar institusi pengajian tinggi swasta – telah ditahan.
Tan Sri Razarudin berkata dua pelajar itu – lelaki dan wanita masing-masing berusia 22 dan 21 tahun yang datang membuat satu laporan polis semasa kejadian tersebut – juga dipercayai adalah anggota JI.
“Mereka datang ke Balai Polis Ulu Tiram pada 2.30 pagi kononnya untuk mendapatkan pandangan anggota polis di balai itu berhubung kejadian cabul yang berlaku dua tahun lalu.
“Ketika mereka sedang buat laporan di dalam balai, suspek utama masuk ke kawasan balai dengan menaiki motosikal terus ke bahagian belakang. Apabila anggota pengawal balai pergi siasat kehadiran suspek, anggota kita ditetak dan suspek mengambil senjata api daripada mangsa,” katanya.
Beliau berkata dua anggota polis lain yang dimaklumkan mengenai serangan itu bergerak ke belakang balai memeriksa dan berlaku tembak-menembak dengan suspek.
Kejadian itu menyebabkan seorang daripada anggota polis berkenaan maut terkena tembakan pada bahagian pipi yang tembus ke kepala, manakala seorang lagi berjaya menembak mati suspek tetapi beliau mengalami cedera parah akibat terkena tembakan di bahu kiri dan pinggul.
Anggota polis yang terbunuh dikenali sebagai Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, yang masih bujang dan menyertai pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2021 dan 2022.
Anggota polis yang menembak mati suspek masih dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru.
Menyusuli kejadian itu Tan Sri Razarudin mengarahkan semua balai polis dan kawasan tumpuan di Johor meningkatkan pemantauan serta-merta.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg