Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Setahun tragedi berdarah Ulu Tiram, penduduk mahu keamanan berkekalan

Suasana di pekan Tiram tenang, aktiviti harian berjalan seperti biasa – selang setahun tragedi yang ragut nyawa dua pegawai polis
Jun 1, 2025 | 3:49 PM
Ulu Tiram, pengganasan, tragedi 2 pegawai polis maut, Malaysia
Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru. - Foto BM oleh REMAR NORDIN

Genap setahun selepas serangan bersenjata di Balai Polis Ulu Tiram yang meragut nyawa dua anggota polis pada 17 Mei 2024, kehidupan penduduk di sekitar Sungai Tiram kini kembali seperti sediakala, namun ingatan terhadap kejadian itu masih kekal segar dalam sanubari mereka.

Tinjauan Berita Minggu (BM) ke dua lokasi utama iaitu Balai Polis Ulu Tiram dan Jalan Rabani, Kampung Sungai Tiram, mendapati suasana di kawasan tersebut tenang, dengan aktiviti harian berjalan seperti biasa.

Pekan Tiram juga kembali rancak, meskipun sesak dengan kenderaan berat yang menggunakan laluan itu sebagai jalan pintas ke Johor Bahru dan Kota Tinggi.

Balai Polis Ulu Tiram yang terletak di Jalan Kota Tinggi, Johor Bahru.
Balai Polis Ulu Tiram yang terletak di Jalan Kota Tinggi, Johor Bahru. - Foto BM oleh REMAR NORDIN.

Dalam serangan pada 17 Mei 2024 itu, dua anggota polis iaitu Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22 tahun, dan Allahyarham Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24 tahun, terkorban, manakala Koperal Mohd Hasif Roslan, 38 tahun, cedera selepas terkena tembakan.

Suspek lelaki berusia 21 tahun pula maut ditembak dalam kejadian berkenaan.

Antara yang sempat menceritakan kembali insiden pada hari kejadian ialah seorang kurier, Encik Muhamad Asren Ahmad, 40 tahun, yang berkata beliau hanya menyedari insiden tersebut selepas tiba di tempat kerja pada pagi kejadian.

“Saya datang kerja macam biasa dan terkejut melihat banyak kereta polis di hadapan balai polis. Saya bekerja kira-kira 100 meter dari lokasi.

“Selepas kejadian itu, penduduk jadi lebih berhati-hati, terutama apabila didatangi individu tidak dikenali. Kami penghantar barang pun mereka pandang serba salah,” ceritanya.

Bagi pekerja sektor swasta, Encik Mohd Marhanis Mirza Mahmod, 35 tahun, peristiwa itu kekal segar dalam ingatannya.

“Masa itu kami panik. Tak pernah lihat kawasan rumah dikerumuni polis berpakaian serba hitam dan bersenjata lengkap. Banyak mesej tular menerusi WhatsApp dengan pelbagai andaian dan rakaman suara, menyebabkan kami yang tinggal 500 meter dari kampung tersebut jadi lebih risau,” katanya.

Namun, tambahnya, keadaan kini jauh lebih tenang hasil rondaan kerap pihak polis yang membantu meningkatkan rasa selamat dalam kalangan penduduk.

Pengerusi Kelab Belia Sungai Tiram, Encik Mohd Idzwan Jamaludin, 38 tahun, berkata kehidupan masyarakat sudah kembali pulih seperti biasa.

“Namun sejak kejadian itu, banyak kenderaan berat menggunakan pekan Tiram sebagai laluan pintas ke Johor Bahru dan Kota Tinggi.

“Jika melalui Lebuhraya Pasir Gudang, ia mungkin ambil masa 45 minit bergantung pada trafik, tetapi jalan di sini cuma 20 minit. Itu yang membimbangkan kerana terlalu banyak lori lalu di kawasan kampung kami,” katanya.

Pengerusi Kelab Belia Kampung Oren, Encik Khairul Nur Safuan, 33 tahun, pula berkata suasana di pekan itu kini kembali aman dan pihak polis telah menjalankan rondaan secara berkala.

“Kami tidak rasa risau lagi. Rondaan kerap oleh pihak polis banyak membantu penduduk rasa lebih selamat,” katanya.

Pengerusi Kelab Belia Kampung Oren, Encik Khairul Nur Safuan, 33 tahun, menyatakan keyakinannya terhadap rondaan berkala pihak polis yang mengembalikan ketenteraman pekan Tiram.
Pengerusi Kelab Belia Kampung Oren, Encik Khairul Nur Safuan, 33 tahun, menyatakan keyakinannya terhadap rondaan berkala pihak polis yang mengembalikan ketenteraman pekan Tiram. - Foto BM oleh REMAR NORDIN

Seorang penduduk Jalan Rabani, Kampung Sungai Tiram, yang hanya mahu dikenali sebagai Pak Hassan, 60 tahun, berkata serangan itu sepatutnya dijadikan pengajaran agar masyarakat lebih saling mengenali dan menjaga jiran tetangga.

“Saya sendiri tidak tahu-menahu mengenai kejadian itu. Polis datang ke rumah minta saya beri keterangan. Kami ikut saja kerana ia sebahagian daripada prosedur keselamatan.

“Anak suruh saya pindah, tetapi rumah ini hasil titik peluh saya. Kami ini hanya mangsa keadaan. Tapi ada pula pihak datang ke kampung ini marah-marah dan menghina kami sedangkan kami tidak tahu apa-apa,” katanya dengan nada kesal.

Namun, beliau melahirkan rasa syukur terhadap sokongan dan bantuan yang dihulurkan jawatankuasa penduduk serta kehadiran pihak berkuasa yang memberikan ketenangan kepada komuniti.

Ahli Majlis Zon Tiram Majlis Bandaraya Johor Bahru, Encik Fauzi Faizal, menyifatkan kejadian tersebut sebagai kes terpencil tetapi memberi kesan besar kepada persepsi masyarakat luar terhadap keselamatan pekan Tiram.

“Saya telah adakan pelbagai program untuk tarik orang ramai kembali ke sini, termasuk pertandingan push bike bersama persatuan dari Singapura.

“Kita mahu yakinkan pelawat luar bahawa Tiram ini selamat. Kami juga mohon peruntukan bagi menaik taraf pencahayaan di kawasan gelap serta memasang lebih banyak CCTV untuk cegah jenayah. Beberapa cadangan saya telah diterima dan akan dilaksanakan secara berfasa,” katanya.

Ahli Majlis Zon Tiram, Majlis Bandaraya Johor Bahru, Encik Fauzi Faizal, berkata pelbagai program komuniti telah diadakan untuk memulihkan keyakinan pengunjung terhadap keselamatan di pekan Tiram.
Ahli Majlis Zon Tiram, Majlis Bandaraya Johor Bahru, Encik Fauzi Faizal, berkata pelbagai program komuniti telah diadakan untuk memulihkan keyakinan pengunjung terhadap keselamatan di pekan Tiram. - Foto BM oleh REMAR NORDIN

Ahli Majlis Zon Sungai Tiram Majlis Bandaraya Pasir Gudang, Encik Khairul Nizam Daud, pula berkata pihak polis kini lebih aktif menyertai program kemasyarakatan serta meningkatkan rondaan.

“Malah semasa banjir baru-baru ini, polis yang turun dahulu membantu penduduk. Kehadiran mereka sangat membantu dalam mengurangkan jenayah, termasuk kes berkaitan dadah.

“Majlis juga banyak menyalurkan bantuan melalui program tanggungjawab sosial korporat kerana kawasan Sungai Tiram bukan kawasan kutipan cukai. Kami turut bekerjasama rapat dengan ketua kampung dan wakil rakyat,” katanya.

Beliau menambah bahawa Rancangan Kawasan Khas Sungai Tiram 2030 sudah bermula tahun ini (2025) dan akan membawa banyak manfaat kepada penduduk setempat.

Ahli Majlis Zon Sungai Tiram, Majlis Bandaraya Pasir Gudang, Encik Khairul Nizam Daud, menjelaskan kerjasama rapat antara pihak berkuasa tempatan dan komuniti dalam memperkukuh keselamatan dan kesejahteraan penduduk.
Ahli Majlis Zon Sungai Tiram, Majlis Bandaraya Pasir Gudang, Encik Khairul Nizam Daud, menjelaskan kerjasama rapat antara pihak berkuasa tempatan dan komuniti dalam memperkukuh keselamatan dan kesejahteraan penduduk. - Foto BM oleh REMAR NORDIN

Pada 16 Mei lalu, Ketua Polis Malaysia, Tan Sri Razarudin Husain, dilaporkan berkata tragedi di Balai Polis Ulu Tiram bukan sekadar peristiwa hitam dalam sejarah keselamatan negara, tetapi juga satu peringatan mendalam bahawa keamanan yang Malaysia kecapi hari ini dibayar dengan pengorbanan nyawa para perwira.

“Pengorbanan mereka adalah lambang keberanian, kesetiaan dan amanah perjuangan mempertahankan negara.

“Kita bukan sahaja wajib memperingati mereka, tetapi juga memperkukuh kesiapsiagaan, memelihara perpaduan, serta memperhalusi pendekatan keselamatan negara agar kejadian seumpama ini tidak berulang. Kewaspadaan bukanlah pilihan, tetapi kewajipan,” katanya lapor Harian Metro.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg