Media Malaysia telah melaporkan beberapa tangkapan ke atas sebilangan individu yang disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas ISIS sepanjang Jun dan Julai.
Sebilangan mereka telah pun dikenakan tuduhan di mahkamah.
Kes terkini membabitkan seorang bekas pensyarah institusi pengajian tinggi awam, Abdullah Daud, 70 tahun, yang didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas empat tuduhan berkaitan kumpulan ISIS antara September 2023 dengan Jun lalu.
Dia didakwa menggalak berlakunya perbuatan pengganasan dengan menanam fahaman pengganasan berkaitan kumpulan ISIS dan membenarkan perjumpaan diadakan di rumahnya di Kampung Melayu Kangkar Tebrau, Johor, untuk menyokong kegiatan pengganasan.
Selain pensyarah itu, tertuduh lain antaranya merupakan seorang kontraktor, penganggur, pekerja kedai makan, pekerja kilang dan pasangan suami isteri – profil pekerjaan yang berbeza.
Umumnya mereka dikenakan tuduhan memiliki bahan berkaitan pengganas ISIS dalam telefon bimbit ataupun komputer riba.
Ada juga menghadapi tuduhan memberi sokongan kepada ISIS menggunakan akaun media sosial dengan berbaiah kepada pemimpin kumpulan itu.
Diminta pendapatnya mengenai kenaikan penangkapan itu, penganalisis politik Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Profesor Azmi Hassan, berkata ini mungkin dikaitkan serangan berdarah di Balai Polis Ulu Tiram, Johor, pada 17 Mei.
Menyusuli serangan itu, pihak keselamatan Malaysia bertambah aktif memantau dan membuat tangkapan terhadap individu yang disyaki ada kaitan dengan kumpulan pengganas seperti ISIS.
“Saya melihat tindakan ini ekoran serangan di Ulu Tiram. Namun, ada juga tangkapan itu dilakukan contohnya ke atas bekas pensyarah Abdullah Daud, juga merupakan kenalan saya, kerana mereka diketahui masih bergiat dalam kegiatan berkaitan pengganasan.
“Saya percaya Cawangan Khas (SB) sentiasa memantau terutama sekali individu seperti Abdullah Daud yang pernah menjadi ahli Jemaah Islamiyah (JI), dan sebab itu tuduhan yang dihadapinya kini adalah berkaitan dengan pengganasan,” katanya kepada Berita Minggu (BM).
Profesor Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid daripada Universiti Sains Malaysia pula berkata hasil siasatan pihak berkuasa ke atas keluarga penyerang (Ulu Tiram) dan pemeriksaan forensik ke atas telefon mudah alih mereka mendedahkan jaringan sosial mereka yang masih didominasi kumpulan bekas ahli kumpulan militan yang pernah merancang menjatuhkan kerajaan Malaysia melalui rampasan kuasa.
“Sebebasnya mereka dari tahanan penjara, tiada pihak yang boleh memaksa mereka terlibat dalam program deradikalisasi anjuran pihak berkuasa.
“Apabila mereka disiasat selepas kes Ulu Tiram, satu-satunya kesalahan yang boleh disabitkan ke atas mereka ialah pemilikan imej atau video dalam telefon bimbit atau pemilikan bahan bacaan berunsur pengganasan,” ujarnya yang sentiasa berhubung rapat dengan Bahagian Anti Pengganas (E8) SB, sebagai sebahagian tugas penyelidikannya.
Ditanya apa yang perlu dilakukan untuk menangani perkara itu, Profesor Ahmad Fauzi berkata tidak mudah untuk mengesan ideologi atau perancangan pengganasan apatah lagi jika seseorang itu bertindak secara ‘lone wolf” (bersendirian/ tiada kumpulan) dan perancangannya hanya diketahui dirinya sendiri sahaja.
“Bagi yang bergerak secara berkumpulan, kecanggihan media sosial terutamanya aplikasi Telegram telah menjadi “gunting dalam lipatan” kepada pihak berkuasa kerana Telegram amat menjaga privasi penggunanya sehingga menyukarkan pihak berkuasa mengesan dan mengenal pasti rangkaian kumpulan.
“Jadi penting bagi pihak berkuasa sentiasa berada selangkah di hadapan dalam pemantauan media sosial.
“Kecanggihan teknologi yang dieksploitasi pengganas perlu disaingi dengan teknologi lanjutan yang lebih terkini milik polis. Penyelidikan dan pembangunan pihak berkuasa mesti sentiasa di tahap tinggi,” kongsinya kepada BM.
Bersependapat, Profesor Azmi berkata tindakan pemantauan kini memainkan peranan penting namun langkah itu bertambah sukar kepada kebanyakan perhubungan antara individu yang disyaki kemungkinan besar dilakukan secara dalam talian.
“Kalau ahli JI yang sebelum ini ditahan, mereka bertemu secara fizikal termasuk kegiatan usrah di Ulu Tiram. Kini mereka boleh berhubungan secara dalam talian dan ini lebih sukar dikesan.
“Namun ini juga memberi peluang kepada SB meningkatkan keupayaan melakukan intipan dan risikan secara dalam talian dan ini perlu dilakukan demi keselamatan negara, memandangkan ideologi ISIS dan pengganasan tetap ada dan menjadi satu ancaman.
“Bagi saya, walaupun jumlah individu yang ditangkap dan dikaitkan dengan pengganasan ini tidak ramai dan pengaruh mereka masih terbatas, ini tidak harus membuatkan kita leka kerana pengaruh dan ancaman mereka masih ada,” tegasnya.
Natijahnya, sebagai negara jiran dekat Malaysia, sebarang ancaman pengganasan di Malaysia boleh memberi tempias kepada Singapura.
Pengaruh ISIS masih terserlah di peringkat sejagat dan kebanyakan mereka yang menjadi radikal sendiri adalah individu yang terpengaruh dengan ideologi pengganasan ISIS secara dalam talian, dengan lebih banyak individu lebih terarah ‘bertindak sendirian’ menjadikannya lebih sukar dikesan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg