Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Setiausaha Agung PAS nafi parti itu mahu sertai Kerajaan Perpaduan

Jun 24, 2024 | 2:33 PM
Datuk Seri Takiyuddin Hassan
Datuk Seri Takiyuddin Hassan - Foto fail

KUALA LUMPUR: Parti Islam SeMalaysia (PAS) menganggap kenyataan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Encik Fahmi Fadzil, bahawa parti pembangkang itu mahu menyertai Kerajaan Perpaduan dan ada banyak perbincangan mengenainya, sebagai imiginasi beliau sendiri.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata kenyataan Encik Fahmi itu juga tiada kaitan dengan realiti politik.

“Jelas ia bertujuan mengelirukan orang ramai dan menimbulkan persepsi buruk terhadap PAS, terutama dalam kalangan pengundi di DUN (Dewan Undangan Negeri) Sungai Bakap yang bakal memilih wakil rakyat baru pada 6 Julai.

“Justeru ahli dan penyokong PN tidak harus terperangkap dengan politik dan publisiti murahan pemimpin Pakatan Harapan (PH) ini,” katanya dalam satu kenyataan pada 23 Jun.

Sebelum ini, Encik Fahmi dilaporkan berkata terdapat banyak perbincangan antara pimpinan PAS dengan Kerajaan Perpaduan yang dikaitkan dengan dakwaan PAS mahu menyertai Kerajaan Perpaduan.

Encik Fahmi berkata perbincangan termasuklah yang dilakukan menteri besar daripada PAS contohnya dengan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Datuk Takiyuddin berkata rundingan yang disebut Encik Fahmi terutama antara menteri besar di negeri yang ditadbir PAS dengan Perdana Menteri adalah rundingan biasa berkait urusan pentadbiran pusat dan negeri dalam sebuah negara Persekutuan.

“Suka ditegaskan bahawa PAS tetap kekal bersama gabungan serta kerjasama PN dan iltizam ini disebut sebelum ini oleh Timbalan Presiden PAS Datuk Sri Tuan Ibrahim Tuan Man serta Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Ahmad Yahya.

“Perlu juga ditegaskan bahawa PAS bukan seperti parti dalam gabungan kerajaan yang sering mengubah janji dan pendirian mereka ketika sebelum pilihan raya dan selepasnya atau pada bila-bila masa lain yang perlu apabila tersepit dengan keadaan,” katanya.

Sementara itu, pemimpin Parti Demokratik Rakyat (DAP), Encik Anthony Loke, berkata PAS tidak diundang menyertai Kerajaan Perpaduan.

“Tidak. Tidak ada perbincangan mengenai PAS sertai Kerajaan Perpaduan,” kata Menteri Pengangkutan itu sambil menambah bahawa ulasan Encik Fahmi mungkin disalah erti, lapor The Star.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg