Industri penjagaan kesihatan di Johor dijangka menerima rangsangan dan lonjakan ketara berikutan pemeteraian perjanjian Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) pada 7 Januari.
Keyakinan itu dizahirkan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, ketika menerima kunjungan Menteri Kesihatan Singapura, Encik Ong Ye Kung, di Kota Iskandar, Johor, pada 14 Januari.
Menurut Datuk Onn Hafiz dalam satu perkongsiannya di Facebook, Johor dan Singapura melihat potensi kerjasama dalam pertukaran kepakaran, penyelidikan bersama dan pelancongan perubatan merentas sempadan.
“Saya berbesar hati menerima kunjungan Encik Ong di Kota Iskandar.
“Pertemuan ini memberi peluang untuk memperkukuh hubungan dan kerjasama dalam sektor kesihatan antara Johor dengan Singapura, terutamanya melalui JS-SEZ yang telah dimeterai pada 7 Januari.
“Kami juga berbincang mengenai bagaimana JS-SEZ dapat mempertingkatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan yang lebih baik dan meningkatkan keberkesanan sistem kesihatan di kededua negara.
“Kerjasama ini juga memberi fokus kepada pembangunan perkhidmatan kesihatan khusus dan penubuhan pusat kecemerlangan yang akan memberi manfaat besar kepada rakyat kededua negara, terutama dalam bidang pelancongan perubatan,” kata Datuk Onn Hafiz.
Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan negeri Johor yakin bahawa inisiatif JS-SEZ bukan saja akan merancakkan ekonomi melalui pelancongan perubatan yang lebih bersepadu, bahkan memberi kesan positif kepada kesejahteraan rakyat Johor dan Singapura.
“Malah ia juga bakal membuka ruang untuk lebih banyak peluang pekerjaan dan pembangunan dalam industri kesihatan.
“Semoga hubungan erat antara Johor dengan Singapura terus diperkukuh untuk memberi limpahan manfaat kepada rakyat kededua negara, insya-Allah,” ujarnya.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam sidang media bersama Perdana Menteri Singapura, Encik Lawrence Wong, sempena lawatan rasmi rakan sejawatnya itu ke Malaysia pada 7 Januari, berkata JS-SEZ adalah satu inisiatif unik, menyaksikan kerjasama membabitkan dua negara sebagai satu pasukan dalam menarik pelaburan.
Datuk Anwar berkata Malaysia dan Singapura memiliki pentadbiran mantap daripada segi politik, selain dasar ekonomi jelas untuk membawa masuk lebih banyak pelaburan.
Beliau berkata JS-SEZ mempunyai sasaran menarik 100 projek dalam tempoh 10 tahun, selain dijangka menjadi pemangkin kepada perubahan ketara dalam pasaran hartanah serta pembangunan ekonomi di Malaysia dan Singapura.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg