Perjanjian Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) adalah satu langkah penting bagi memperkukuh perhubungan dua hala antara Singapura dan Malaysia.
Namun, butiran lanjut masih diperlukan untuk melihat bagaimana perniagaan Melayu Singapura boleh meraih manfaat daripada kerjasama itu, kata Presiden Dewan Perniagaan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS), Encik Abu Bakar Mohd Nor.
Menjawab soalan Berita Harian (BH) pada 9 Januari, Encik Abu Bakar berkata potensi JS-SEZ untuk memupuk inovasi, kerjasama dan pertumbuhan dalam kalangan syarikat kecil dan sederhana (SME) amat bergema dengan matlamat DPPMS.
Ini kerana JS-SEZ menyediakan platform untuk perniagaan mengembangkan jangkauan pasaran mereka dan mengoptimumkan operasi, tambah beliau.
“Walaupun JS-SEZ memberikan peluang yang sangat baik untuk kerjasama rentas sempadan, lebih banyak maklumat diperlukan tentang cara perniagaan, terutama perusahaan yang lebih kecil, boleh mengakses peluang ini.
“Laluan yang jelas untuk penyertaan, sokongan kewangan dan insentif cukai akan membantu memastikan keterangkuman dan membolehkan rangkaian perniagaan yang lebih luas mendapat manfaat daripada inisiatif ini,” kata Encik Abu Bakar.
Beliau menambah tumpuan JS-SEZ untuk memanfaatkan kekuatan kedua-dua negara dan meneroka peluang dalam tenaga boleh diperbaharui, kredit karbon, dan pendidikan juga memberikan prospek yang menarik untuk perniagaan dalam sektor ini.
Pada 7 Januari, Singapura dan Malaysia telah menandatangani perjanjian untuk membentuk JS-SEZ, sebuah hab bagi perniagaan dan pelaburan, yang meliputi sempadan Iskandar Malaysia dan Pengerang.
Pemeteraian perjanjian itu disaksikan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semasa menghadiri Rahat Pemimpin Malaysia-Singapura ke-11 di Putrajaya, Malaysia.
Encik Wong berkata perjanjian JS-SEZ itu bertujuan membantu Johor dan Singapura bersaing untuk pelaburan di peringkat dunia, selain menambah baik perhubungan dan pergerakan barangan dan warga serta mengukuhkan ekosistem perniagaan di rantau ini.
Pada 8 Januari, Malaysia turut mengumumkan tawaran pakej insentif cukai JS-SEZ bagi menarik pelaburan bernilai tinggi ke Johor dengan mengambil kira keperluan dinamik pelabur global dan domestik.
Pakej insentif cukai itu membabitkan kadar cukai korporat istimewa 5 peratus bagi tempoh sehingga 15 tahun, insentif tambahan bagi operasi di kawasan utama JS-SEZ, serta kadar cukai istimewa untuk pekerja berkemahiran sebanyak 15 peratus bagi tempoh 10 tahun.
Dalam responsnya, Encik Abu Bakar berkata kerjasama oleh Singapura dan Malaysia untuk membangunkan JS-SEZ adalah sejajar dengan misi DPPMS untuk memperkasakan perniagaan Melayu/Islam serantau.
Ini khususnya dalam usahanya untuk menawarkan insentif cukai, peraturan diperkemas dan infrastruktur yang dipertingkatkan untuk menarik pelaburan dalam industri pembuatan, logistik dan teknologi tinggi, tambahnya.
Pada 8 Januari, Encik Wong dan Datuk Anwar, dalam satu kenyataan bersama, berkata Singapura dan Malaysia menyasarkan untuk menyokong pengembangan 50 projek dalam tempoh lima tahun pertama dan sebanyak 100 projek secara keseluruhan dalam tempoh 10 tahun di JS-SEZ.
Kededua negara juga akan bekerjasama untuk menyegarkan semula Jawatankuasa Bersama Menteri bagi Iskandar Malaysia (JMCIM), yang pertama kali ditubuhkan pada 2007, bagi meningkatkan sokongan kepada cita-cita dan pembangunan JS-SEZ.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg