PETALING JAYA: “Pada awalnya memang ada perasaan takut terutama ketika bekerja syif malam kerana suasana tanah perkuburan yang sunyi dan gelap.
“Lama kelamaan, saya dapat biasakan diri, malah keberanian dan perasaan tenang datang kerana selalu ingatkan diri kerja dilakukan ini halal dan lebih mengingatkan diri saya dengan kematian.”
Demikian antara perkongsian Encik Muhammad Fazli Helmi, 24 tahun, atau mesra disapa Encik Fazz, ketika menceritakan kisahnya yang mencari pendapatan sampingan dengan bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah tanah perkuburan di sini.
Pekerjaan itu dilakukan pada sebelah malam kerana pada sebelah siang, Encik Fazz bekerja tetap sebagai pemandu van sebuah syarikat dan lebih mengagumkan, beliau juga salah seorang sukarelawan pengurusan jenazah di bawah Pertubuhan Sentuhan Setia Kasih.
Menceritakan kisahnya, Encik Fazz, yang menetap di Taman Medan, dekat sini berkata beliau mula bekerja sambilan sebagai pengawal keselamatan di tanah perkuburan berkenaan sejak 2023.
Menurut Encik Fazz, niatnya adalah mencari rezeki bagi membantu meringankan beban keluarga selain mengumpul wang untuk menampung kos perubatan ibunya, Cik Roba’ayah Idris, 57 tahun, di sebuah pusat perubatan separa kerajaan dekat sini.
“Sebenarnya, hari pertama kerja lagi saya sudah terkena gangguan sampai nak demam kerana ‘ditindih’ sehingga tak bernafas selepas terlelap.
“Ikutkan, hari kedua berat nak datang kerja kerana macam tak larat tapi memandangkan keadaan emak yang ada asma dan perlukan ubat mencecah RM480 ($150)sebulan, saya kuatkan diri untuk bekerja.
“Ayah (Encik Mohd Razali Mohd Zin, 66 tahun) pun sudah bersara jadi saya rasa bertanggungjawab untuk bantu ringankan beban keluarga.
“Lagipun, nak dapat kerja bukan senang dan saya fikir kena cari duit untuk bayar komitmen bulanan,” katanya kepada Harian Metro.
Anak keempat daripada enam beradik itu berkata waktu kerjanya bermula 8 malam hingga 8 pagi keesokan harinya.
Menurut Encik Fazz, skop tugasnya adalah melakukan rondaan serta pemantauan secara bergilir dengan rakan setugas.
“Setakat dua tahun ini, semuanya okey dan saya sudah dapat biasakan diri namun kepuasannya adalah apabila dapat menjalankan amanah iaitu menjaga kawasan perkuburan seperti yang dipertanggungjawabkan.
“Selain meronda dan buat pemantauan, saya juga pernah bantu tangkap ular dan ingatkan waris supaya berhati-hati sekali gus menjaga keselamatan mereka.
“Pernah juga kerja seorang pada malam Raya dan selain ditindih, saya juga pernah terdengar suara bayi dan lelaki tua menangis dari arah kubur kira-kira 3 pagi.
“Seingat saya, kejadian itu berlaku September lalu ketika rakan setugas berehat sekejap dalam kereta dan saya yakin bunyi didengar itu datang daripada kawasan perkuburan, bukannya perumahan penduduk berhampiran,” katanya, yang memiliki sijil dalam pengajian minyak dan gas.
Kata Encik Fazz, keluarga terutama ibu bapa memberi sokongan namun beliau pernah diperlekehkan individu hanya kerana bekerja sebagai pengawal keselamatan.
“Saya pernah luahkan hasrat nak beli sebuah kereta tapi individu itu kata jangan harap dapat membelinya namun saya bersyukur kerana dapat membeli kenderaan dengan hasil titik peluh sendiri.
“Saya bersyukur dengan rezeki Allah swt beri kerana ada tiga pekerjaan sekarang termasuk kerja fardu kifayah iaitu pengurusan jenazah percuma bagi khidmat memandikan, mengkafankan, pengambilan dan penghantaran jenazah.
“Walaupun takut waktu nak uruskan jenazah mula-mula dulu, perasaan itu lama kelamaan hilang malah semakin minat dan seronok dapat bantu waris uruskan jenazah sambil kumpul pahala.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg